Jenazah kelapan mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Kemaman, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, siap dikafan dan disembahyangkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dibawa pulang ke Felda Lepar Hilir 3 Gambang di Kuantan Pahang untuk dikebumikan pada 5 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jenazah kelapan tragedi kepala air dikebumikan di Gambang, malam ini

KUALA TERENGGANU, 5 JULAI: Jenazah mangsa kelapan tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, telah dihantar pulang ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan pada jam 8.10 malam ini.

Van jenazah membawa mangsa remaja perempuan itu meninggalkan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu dengan diiringi sebuah kereta peronda polis.

Ibu saudara mangsa, Rosilawati Kassim, 49, berkata, jenazah Allahyarham Putri Alleya Maisarah akan dikebumikan berdekatan pusara ibu bapa serta lima adik beradiknya yang telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, kira-kira jam 12 tengah malam, semalam.

“Kita jangka semua urusan pengebumian diselesaikan pada malam ini,” katanya ketika ditemui di HSNZ sebentar tadi.

Allahyarham Putri Alleya Maisarah ditemukan pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat iaitu kira-kira jam 3 petang semalam.

Sehingga ini, dua lagi mangsa belum ditemukan iaitu Putri Nor Fatin, 14 dan Muhammad Fikri Saliman berusia 24 tahun.

– BERNAMA


Pengarang :