Oleh Amirul Fazli
PETALING JAYA, 5 JULAI: Rata-rata pengunjung yang hadir ke Jualan Ehsan Rahmah (JER) teruja membeli barangan keperluan dapur kerana harganya murah dan berkualiti.
Bagi Azrin Abdul Aziz, 29, berkata dirinya berpuas hati kerana membelanjakan wang saku yang sedikit tetapi dapat membeli banyak barangan berbanding harga pasaran semasa.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/M1-500x350.jpg.webp)
“Barang yang dijual seperti beras memang berkualiti. Jadi ia banyak membantu golongan seperti saya yang bekerja sendiri,” katanya katanya ditemui pada program JER Masjid As-Salam Taman Medan di sini hari ini.
Pandangan sama dikongsi Azurah Atin, 50, yang mengakui program jualan murah membantu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.
“Jika berkesempatan memang saya nak datang ke sini (JER). Saya rasa ini kali ketiga saya datang. Setiap kali saya membeli di sini, bekalan barangan yang saya beli bertahan sampai dua minggu.
“Jika dibanding dengan jumlah duit yang saya belanja untuk membeli di luar, saya rasa memang tidak dapat memberi penjimatan seperti di sini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/m2-500x350.jpg.webp)
“Saya harap sangat program ini dikekalkan dan saya rasa semua orang pun mengharapkan perkara yang sama,” katanya.
Sementara itu, Chai See Mooi, 74, berkata kelebihan JER ialah ayam dijual dengan harga tetap RM10 tanpa mengira berat.
“Jika beli ayam di luar mereka timbang ikut kilogram tetapi beli di sini seekor baru RM10. Inilah keistimewaan JER yang tiada di tempat lain,” katanya
Jualan murah itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/m3-1-500x342.jpg.webp)
Program tersebut adalah kesinambungan Jelajah Ehsan Rakyat yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.
PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.
Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/m5-500x353.jpg.webp)