Orang ramai memilih barangan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Kota Raja di Kampung Johan Setia, Klang pada 20 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah bantu jimat kos dapur, penduduk harap diadakan kerap

SHAH ALAM, 21 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) perlu diadakan lebih kerap bagi meringankan beban perbelanjaan penduduk.

Suri rumah Shariza Mat Zin, 52, berkata beliau menantikan program jualan murah barangan asas itu kerana dapat membeli barang keperluan pada harga rendah sekali gus menjimatkan kos dapur.

Shariza Mat Zin, 52, ditemui dalam program JER Parlimen Kota Raja, Klang pada 20 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kalau ada saya memang pergi. Pernah sekali saya terlambat dan tak dapat beli ayam. Orang memang ramai kerana kami semua tak nak lepaskan peluang beli harga murah.

“Harapnya program ini kerap diadakan terutama di kawasan penduduk susah. Tambah lagi produk lain supaya kami mudah membeli,” katanya ditemui dalam program JER Parlimen Kota Raja, Klang semalam.

Pemandu lori M Sathasivam, 46, berkata produk dijual tetap berkualiti meskipun harga ditawarkan murah berbanding pasaran.

“Saya berpuas hati dengan barang dibeli. Ayam seekor RM10 dan besar. Boleh tahan beberapa hari untuk satu keluarga kecil. Beras juga berkualiti.

M Sathasivam, 46, ditemui dalam program JER Parlimen Kota Raja, Klang pada 20 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Program ini membantu saya berbelanja cuma tak ada selalu. Saya harap jualan ini sentiasa ada untuk bantu kami berjimat. Beli di pasar perlukan belanja besar,” katanya.

JER diperkenalkan tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai minggu lalu, PKPS turut menjual minyak masak peket sekilogram serendah RM2 sebungkus di beberapa kawasan terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Setakat ini JER sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.


Pengarang :