Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena Jualan Mega Ehsan Rahmah di Taman Keramat pada 31 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kampung Sijangkang, pangsapuri SS19 antara lokasi jualan murah esok

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 22 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke sembilan lagi tempat esok mulai 10 pagi.

Menurut Facebook PKPS, lokasi terlibat meliputi Kampung Sijangkang (Parlimen Kuala Langat), Futsal Arena Kampung Pasir Tuntong dan berdekatan Ajab Car Wash, Batang Berjuntai (Parlimen Kuala Selangor).

Jualan turut berlangsung di pangsapuri SS19 (Parlimen Subang), Dewan Komuniti Kampung Bestari Jaya (Parlimen Tanjung Karang) dan gelanggang bola keranjang Klang Utama (Parlimen Klang).

Lokasi lain ialah Hajar Seafood Kampung Damai Kuang (Parlimen Selayang), Jalan Ria 25/62 Taman Sri Muda (Parlimen Kota Raja) dan Surau Darul-Hidayah (Parlimen Sungai Buloh).

Jualan itu yang dijenamakan semula daripada Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan hingga Disember ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

Produk dijual termasuk ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :