Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN ) Shah Alam Suryamuizzudin Kamarudin (tiga, kanan) menunjukkan laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada 13 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN Shah Alam lapor polis ucapan Sanusi hina Sultan Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Shah Alam hari ini membuat laporan polis berikutan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Ketua penerangannya menjelaskan laporan berkenaan dibuat bertujuan mempertahan kedaulatan institusi diraja Selangor supaya tidak dijadikan modal kempen pilihan raya negeri (PRN).

Suryamuizzudin Kamarudin menambah siasatan dan tindakan tegas harus diambil pihak berkuasa kerana ceramah politik tidak wajar dijadikan pentas untuk menghina institusi tersebut.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN ) Shah Alam Suryamuizzudin Kamarudin bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada 13 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ucapan Sanusi secara terang bersifat menghina DYMM Sultan Selangor dan tidak dapat diterima oleh rakyat Selangor yang kasih dan menghormati institusi diraja di negeri ini.

“Beliau juga menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat menerusi kenyataan bersifat perkauman dan menunggang ajaran Islam,” katanya ketika ditemui di balai polis Seksyen 9 di sini.

Suryamuizzudin berkata KEADILAN mendukung pendirian kerajaan bagi menangani kelompok yang menggunakan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) untuk kepentingan politik mereka.

“Negara ini tidak boleh dibiarkan musnah dek kerana politik perpecahan yang cuba dianjurkan oleh pemimpin Perikatan Nasional,” kata beliau lagi.

Sanusi dalam ceramah di Selayang kelmarin seolah-olah menyentuh perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terhadap pelantikan Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai Dato’ Menteri Besar.

Berdasarkan rakaman yang tular di media sosial, beliau menyebut: “Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia macam Amir(udin).

Semakan menunjukkan perkataan cokia tiada dalam kamus dewan sebaliknya ungkapan slanga yang digunakan dalam percakapan harian bagi merendah-rendah sesuatu barangan atau individu.


Pengarang :