Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

KDNK tinggi berkat urus tadbir cekap, limpahan hasil dikembalikan kepada rakyat

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

KUALA SELANGOR, 13 JULAI: Kejayaan Selangor sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun lalu tidak dicapai dengan mudah sebaliknya diperoleh berkat pentadbiran berintegriti pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati berkata pentadbiran yang bebas ketirisan dan salah laku rasuah sepanjang tiga penggal Selangor dipimpin gabungan itu juga membolehkan hasil kekayaan negeri dikembalikan kepada rakyat.

Penyandang kerusi DUN Bukit Melawati Juwairiyah Zulkifli berucap di pentas Jelajah Madani Harapan DUN Bukit Melawati di tempat letak kereta Hotel Sun Inns Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Tidak hanya segala hasil kekayaan negeri disalurkan kepada rakyat, malah saban tahun rizab negeri meningkat dan hutang Kerajaan Negeri juga menunjukkan penurunan.

“Paling terkini adalah sumbangan KDNK pada kadar 25.5 peratus iaitu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” kata Juwairiya Zulkifli.

Berucap di pentas Jelajah Madani HARAPAN DUN Bukit Melawat, semalam, beliau berkata keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap nasib rakyat diterjemahkan menerusi pelaksanaan 44 program kebajikan bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

“Kita sudah ada kepimpinan yang baik untuk mentadbir hasil dan pemerintahan yang ada di Selangor hari ini. Sudah ada banyak program-program yang rakyat terima sehingga saat ini dan insy-Allah selepas pilihan raya ini, kita akan tambah baik lagi,” katanya.

Bermula tujuh pakej bantuan di bawah dasar merakyatkan ekonomi, jumlahnya bertambah kepada 44 inisiatif setakat Disember 2022 menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP), seiring peningkatan pendapatan hasil urus tadbir cekap.

Di bawah ISP, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM600 juta untuk membantu kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam bidang kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

Enam inisiatif digariskan iaitu Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor (10 program), Iltizam Kesihatan Selangor (11), Iltizam Pendidikan Selangor (7), Iltizam Perumahan Selangor (7), Iltizam Keusahawanan Selangor (5) dan Iltizam Mesra Anak Selangor (4).


Pengarang :