Oleh FHATIHAH ZAKINAN
GOMBAK, 24 JULAI: Kekuatan ekonomi Selangor memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negara apabila ramai yang berhijrah mencari peluang kerjaya dan menetap di sini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ekonomi negeri terus berkembang saban tahun sehingga berupaya menawarkan lebih 89,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/SK2707MA_17-500x333.jpg.webp)
“Selangor ini tempat masyarakat pelbagai kaum dari seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak datang untuk mencari kerja kerana kekuatan ekonominya.
“Itu yang menarik ramai orang datang dan menghuni di sini,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Futsal Amatur Piala Dato’ Seri Amirudin Shari di KSL Sport Futsal, Batu Caves, di sini malam tadi.
Terdahulu, program anjuran Kelab Sukan Kebajikan dan Rekreasi Negeri Selangor dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 7 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima penyertaan 300 anak muda.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/SK2707MA_16-500x333.jpg.webp)
Sebelum ini, Amirudin berkata Selangor juga sebuah negeri yang tahan uji apabila berjaya mengharungi pelbagai cabaran dalam menjadi penggerak ekonomi negara dan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 25.5 peratus pada tahun lalu.
Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan keupayaan Selangor untuk terus melangkah meskipun ia dicapai ketika pandemik Covid-19 dan bencana banjir.