EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim melihat pelan projek penstabilan cerun di tapak insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada 18 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SEANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerja stabil cerun Jalan Batang Kali-Genting Highlands dijangka siap Mac

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 18 JULAI: Kerja penstabilan cerun di Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini mencapai 6.98 peratus sejak dimulakan bulan lalu, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata kerja pengukuhan membabitkan pembinaan sistem terra link yang menelan kos RM19 juta berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya sekitar Mac depan.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas melawat projek penstabilan cerun di tapak insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada 18 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SEANGORKINI

“Banyak perkara telah kita buat di sini antaranya mengukuhkan tebing memandangkan jalan ini antara laluan terpenting untuk penduduk berulang alik ke Genting Highlands memandangkan ramai yang bekerja di sana.

“Kerajaan Negeri telah perkukuhkan kawasan ini dengan pilih bentuk pembinaan dikenali sebagai terra link iaitu kaedah digunapakai di banyak negara memandangkan harganya tidak begitu mahal selain pembinaan yang hanya ambil masa 10 bulan berbanding kaedah lain yang dicadangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan kerja penstabilan cerun di kawasan berkenaan yang juga lokasi tragedi tanah runtuh, petang tadi.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau perkembangan projek penstabilan cerun di tapak insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada 18 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SEANGORKINI

Mengulas lanjut Izham berkata pihaknya akan teliti laporan lengkap untuk melihat langkah susulan yang perlu diambil terutama melibatkan kawasan sekitar lokasi insiden terbabit.

Pihaknya yakin projek berkenaan dapat disiapkan seperti dijadualkan sebelum membenarkan laluan terbabit dibuka dan digunakan seperti biasa untuk ke Genting Highlands.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan laluan di Jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands hanya akan dibuka untuk kenderaan ringan mulai awal Januari lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat bagi memudahkan urusan ulang-alik hampir 5,000 pekerja yang tinggal di Batang Kali, Hulu Selangor dan Genting Highlands, Pahang.


Pengarang :