Orang ramai melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dalam pameran awam di pusat beli-belah SACC, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kompleks Sukan Shah Alam mula dibina September, dijadual siap 2026

SHAH ALAM, 2 JULAI: Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) membabitkan kawasan seluas 76.08 hektar dijangka bermula September ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kompleks yang dijangka siap pada 2026 antara lain berperanan membantu usaha Kerajaan Negeri memperkasa program pembinaan sukan yang konsisten di Selangor.

“Paling lambat September ini akan mulakan pembinaan kerana kita mahu tukar pendekatan dan bagaimana stadium itu berperanan,” katanya dalam sesi wawancara Selamat Pagi Malaysia khas yang bersiaran secara langsung dari Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, hari ini.

Tangkap layar wawancara bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam program Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran langsung dari Teratak Shah Bonda, Tanjung Sepat pada 2 Julai 2023

Amirudin berkata program pembangunan sukan akan dilaksana secara konsisten bagi memastikan potensi dan bakat sukan negeri ini terus diperkasa merentas generasi.

“Kekuatan dalam bidang sukan ini memang sebenarnya sejak 90-an kita ‘champion’ tapi selepas 2010 ke atas ada pesaing seperti Terengganu dan Kuala Lumpur kerana mereka mempunyai program pembangunan sukan yang lebih konsisten.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah program pembangunan sukan yang konsisten dan isunya adalah dana dan kemudahan. Alhamdulillah walaupun Selangor tidaklah bertaraf dunia tetapi kemudahan sukan yang kita ada sentiasa terkini dan memenuhi keperluan,” katanya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim meninjau ruang pameran projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di SACC Mall, Shah Alam pada 7 Februari 2023. Turut sama Pengurus Besar Unit Projek Khas MBI Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz (kiri) dan Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Sebelum ini, Pengurus besar unit projek khas Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz memaklumkan projek pembangunan KSSA bukan hanya mengenai stadium, tetapi ia akan mempunyai kawasan rekreasi, riadah, dan perniagaan.

Projek berkenaan seiring pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 melalui perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad tanpa dana awam.

Pembangunan semula KSSA dibuat berikutan kos baik pulih dianggar menelan belanja RM787 juta. Sebanyak RM56 juta digunakan bagi menyelenggara dan membaiki kerosakan antara 2013 hingga 2022.

Orang ramai melihat papan informasi pembangunan
Kompleks Sukan Shah Alam di pusat beli belah SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :