Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Morib Hasnul Baharuddin bersama penduduk menyembelih lembu pada Korban Perdana DUN Morib di Surau Haji Taib Kampung Sungai Buaya pada 1 Julai 2023 meskipun kawasan berkenaan dinaiki air susulan hujan lebat. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Dun Morib
ADNSELANGOR

Korban Perdana DUN Morib diteruskan meskipun kawasan sembelihan dinaiki air

Oleh AMIRUL FAZLI

SHAH ALAM, 2 JULAI: Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib di Surau Haji Taib Kampung Sungai Buaya, semalam diteruskan meskipun kawasan tersebut dinaiki air paras betis.

Penyandangnya Hasnul Baharuddin berkata lokasi penyembelihan berkenaan bukan kawasan banjir tetapi sedikit rendah dan dinaiki air susulan hujan lebat malam kelmarin.

“Hujan antara 12.00 tengah malam sehingga 4.00 pagi menyebabkan air dari kebun terus ke parit besar di Sungai Langat. Air hujan dari Kampung Sungai Buaya, Kampung Sawah dan Kampung Bandar turut mempengaruhi selain kebetulan pintu kunci air ditutup.

“Kebun yang kita lakukan ibadah korban sedikit rendah menyebabkan air bertakung namun dalam tengah hari air semakin surut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Morib Hasnul Baharuddin mengagihkan daging korban kepada penduduk pada Korban Perdana DUN Morib di Surau Haji Taib Kampung Sungai Buaya pada 1 Julai 2023. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Dun Morib

Tambah Hasnul, DUN berkenaan menerima enam lembu dan 15 kambing sumbangan Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan tersebut.

Seramai 250 penduduk sekitar mengambil bahagian melaksanakan ibadah korban mulai 7.30 pagi dan siap dibungkus pada 1.00 tengah hari untuk diagihkan kepada penerima.


Pengarang :