Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) diiringi Timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan EXCO Perumahan Rodziah Ismail ketika merasmian Projek Penggantian Lif di PPR Kota Damansara, Petaling Jaya pada 18 Julai 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPKT sasar ganti 500 lif usang di PPR, manfaat 750,00 penduduk

PETALING JAYA, 18 JULAI: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan mengantikan 500 lif usang di Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara dalam masa lima tahun.

Menterinya Nga Kor Ming berkata sebanyak 100 lif usang digantikan setiap tahun di kawasan terlibat termasuk perumahan awam dan swasta berstrata kos rendah.

“Kerajaan terus komited setiap tahun menukar 100 lif di PPR, perumahan awam dan swasta kos rendah supaya dalam tempoh lima tahun ini kita dapat menukar 500 lif.

“Ini secara keseluruhan akan memanfaatkan 750,000 penduduk yang mana kerajaan menggantikannya secara percuma,” katanya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada Majlis Perasmian Projek Penggantian Lif di PPR Kota Damansara, Petaling Jaya pada 18 Julai 2023. FOTO/SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

Beliau ditemui selepas merasmikan projek penggantian lif di PPR Kota Damansara di sini yang turut dihadiri EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Projek berkenaan membabitkan penggantian 12 lif baharu di empat blok PPR Kota Damansara dengan kos RM3.7 juta.

Turut diwujudkan ruang komuniti, baik pulih besi penghadang di lereng bukit dan papan tanda di PPR Kota Damansara hasil sumbangan tanggungjawab sosial korporat rakan strategik dan agensi bawah KPKT.

Kerajaan menerusi insiatif Belanjawan Madani 2023 sebelum ini mengumumkan peruntukan khas RM50 juta bagi kerja penyelenggaraan lif di PPR dan perumahan awam.


Pengarang :