Sebahagian pengunjung menyertai persembahan kebudayaan sempena Festival Bond Odori ke-47 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 22 Julai 2023. Foto Facebook Tourism Selangor.
AGENSISELANGOR

Lebih 30,000 pengunjung meriahkan Festival Bon Odori

SHAH ALAM, 25 JULAI: Lebih 30,000 pengunjung membanjiri festival kebudayaan Bon Odori ke-47 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam di sini, Sabtu lalu.

Tourism Selangor memaklumkan acara tahunan itu menumpukan pertukaran budaya antara Jepun dan Selangor, selain mempamer keunikan negeri kepada pelancong.

“Festival Bon Odori mempamerkan pelbagai persembahan kebudayaan dari Jepun dan Selangor seperti Tarian Soblang Sari dari Selangor, Tarian Nihon Buyou-Bu, Tarian Bon Odori, dan Tarian Wadaiko.

“Selain itu, ia turut diserikan dengan persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian tradisional Jepun, makanan dan produk tempatan,” katanya menerusi Facebook.

Festival Bon Odori yang dianjurkan hampir setengah abad di negara ini adalah usaha bagi mempromosi dan mengeratkan persahabatan antara Malaysia dan Jepun.

Pada 8 Jun tahun lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berpandangan festival itu perayaan budaya bagi mengeratkan semangat muhibah dengan komuniti Jepun.

 


Pengarang :