Ahli Dewan Negeri Meru Mohd Fakhrulrazi Mokhtar turun padang bagi memantau kerja-kerja penurapan di Jalan Pusara di Tanah Perkuburan Islam Meru, Klang pada 20 Jun 2023. Foto Facebook Mohd Fakhrulrazi Mokhtar
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 90 peratus projek infrastruktur selesai di Meru, rakyat nikmati manfaat

SHAH ALAM, 21 JULAI: Lebih 90 peratus masalah infrastruktur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru berjaya diselesaikan dalam tempoh lima tahun.

Penyandang DUN Meru Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata semua infrastruktur itu melibatkan kemudahan jalan raya dan projek naik taraf serta baik pulih sistem perparitan.

“Hampir keseluruhan infrastruktur yang sebelum ini teruk berjaya diselesaikan, libatkan projek jalan raya dan juga beberapa sistem perparitan.

“Semua projek itu berada dibawah tanggungjawab kerajaan. Kebanyakan yang masih gagal diselenggara adalah milik konsesi atau persendirian,” katanya kepada Selangorkini.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar

Menurut beliau, penyelesaian masalah infrastruktur merupakan sebahagian daripada empat fokus utamanya ketika dipilih sebagai wakil rakyat pada 2018.

Jelasnya, beliau juga menumpukan usaha mengurangkan isu kebanjiran warga asing, masalah banjir dan lambakan sampah yang menghantui penduduk sejak sekian lama.

“Saya paling gembira kerana dapat kurangkan masalah banjir. Sebelum ini kita terpaksa hadapi lebih enam kali banjir dalam setahun, sekarang hanya sekali.

“Masalah banjir juga dapat kerjasama daripada pihak swasta. Syukur kerana syarikat Top Glove beri sumbangan kira-kira RM54 juta untuk bantu,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan pelaksanaan projek pembinaan kolam takungan banjir di Kampung Budiman, Meru dengan kos RM20 juta.

Ia merupakan sebahagian daripada projek tebatan banjir yang turut melibatkan projek saliran di Taman Mutiara Bukit Raja dan Sabak Bernam dengan kos keseluruhan RM45 juta.


Pengarang :