Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan pemantauan dan pensampelan setiap 30 minit di beberapa lokasi berpotensi di Sungai Langat susulan insiden kebakaran melibatkan beberapa kilang di Pusat Perindustrian Budiman, Kajang pada 30 Jun 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSISELANGOR

LUAS pantau kualiti air Sungai Langat susulan kebakaran kilang di Kajang

SHAH ALAM, 1 JULAI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) masih melakukan pemantauan dan pensampelan pada kekerapan setiap 30 minit di beberapa lokasi berpotensi di Sungai Langat susulan insiden kebakaran melibatkan beberapa kilang di Pusat Perindustrian Budiman, Kajang, awal pagi semalam.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian dalam kenyataan berkata pemantauan statik turut dilaksanakan di jambatan Teras Jernang selain meneruskan kawalan dan pemantauan di lokasi kebakaran bagi memastikan aliran sisa dikawal sepenuhnya.

Hee berkata pensampelan LUAS di Sungai Langat semalam, telah mengesan bau sebanyak dua ton dan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah dimaklumkan segera.

Susulan itu, menurut Hee penyaluran air mentah ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11, Cheras terpaksa ditutup sementara selama tiga jam bermula 3 petang semalam untuk pencegahan impak yang lebih teruk kepada operasi loji.

“Hasil daripada usaha pencegahan segera ini, penyaluran air mentah ke LRA berkenaan dengan kapasiti 27 juta liter sehari (JLH) dan kemampuan bekalan kepada anggaran 8,779 akaun di sekitar 30 kawasan di Cheras dan Balakong dapat beroperasi semula pada 6 petang setelah bacaan bau 0 ton direkodkan tiga kali berturut-turut,” katanya.

Semalam media melaporkan tujuh kilang dan satu stor simpanan barangan musnah manakala dua lagi rosak teruk akibat kebakaran di kawasan perindustrian terbabit yang berlaku kira-kira 2 pagi.

– BERNAMA

Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan pemantauan dan pensampelan setiap 30 minit di beberapa lokasi berpotensi di Sungai Langat susulan insiden kebakaran melibatkan beberapa kilang di Pusat Perindustrian Budiman, Kajang pada 30 Jun 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

 


Pengarang :