Wakil Skuad Saidina Umar Lembaga Zakat Selangor menyantuni mangsa kemalangan jalan raya yang cedera paras dan hilang punca pendapatan. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS hulur sumbangan tunai, ringan beban mangsa kemalangan jalan raya

OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

SHAH ALAM, 18 JULAI: Nasib keluarga penghantar barang yang terbabit kemalangan motosikal dan terputus pendapatan sejak sebulan lalu mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan pihaknya menyerahkan sumbangan kecemasan RM500 dan meluluskan bantuan sewa rumah bulanan berjumlah RM800 kepada keluarga berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal dilanggar daripada belakang menyebabkan patah tulang bahu, tangan dan jari, serta kesan luka yang teruk hingga sukar untuk berjalan.

“Akibat daripada insiden itu, suami ini terputus pendapatan untuk menanggung isteri dan dua orang anak kecilnya serta ibu yang uzur. Biarpun isterinya bekerja, masih tidak dapat tampung perbelanjaan keluarga ini kerana pendapatannya rendah,” katanya.

LZS berharap bantuan diagihkan dapat membantu meringankan beban ditanggung manakala bayaran sewa rumah akan disalurkan sehingga penerima kembali sihat dan mampu bekerja.

“Alhamdulillah hasil daripada zakat anda, keluarga ini kembali tersenyum,” katanya.

Orang ramai turut digalakkan untuk berkongsi maklumat mengenai mereka yang memerlukan kepada agensi itu sama ada di media sosial, talian hotline atau merujuk penolong amil kariah di masjid seluruh Selangor.


Pengarang :