Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad (tengah) bergambar bersama penduduk ketika lawatan di gelanggang futsal Kampung Sungai Choh Simpang, Hulu Selangor pada 15 Julai 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
ADNSELANGOR

Manfaat dana Selangor Penyayang RM50,000, gelanggang futsal siap dibaiki

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 17 JULAI: Belia futsal di Kampung Sungai Choh Simpang, Hulu Selangor kini boleh bermain dengan selesa selepas gelanggang sukan itu siap dinaik taraf dengan peruntukkan RM50,000 pada 19 Jun lalu.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkata kerja naik taraf gelanggang tersebut yang bermula 9 Mei lalu menggunakan peruntukkan Projek Selangor Penyayang (PSP).

“Kerja naik taraf melibatkan pemasangan lantai dan pagar baharu serta pemasangan lampu solar yang memanfaatkan lebih 200 golongan muda di Kampung Sungai Choh Simpang dan sekitarnya.

“Semoga prasarana sukan yang telah dinaik taraf ini diharap memberi keselesaan dan keselamatan kepada penggunanya,” kata Saifuddin Shafi Muhammad ketika dihubungi hari ini.

Belia dapat bermain futsal dengan selesa di gelanggang futsal Kampung Sungai Choh Simpang, Hulu Selangor pada 15 Julai 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

Beliau yang melawat gelanggang berkenaan pada 15 Julai lalu berkata, projek ini merupakan antara 10 projek naik taraf yang diluluskan di kawasannya sebelum DUN dibubarkan.

Menerusi Belanjawan 2023 Dato’ Menteri Besar memperuntukan RM28 juta bawah inisiatif PSP sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :