Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bergambar pada Program Sentuhan Agro Madani peringkat Negeri Selangor yang diadakan di MSekin Wonderland, Jalan Pantai Redang, Bagan Sekinchan pada 18 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB hargai pengiktirafan PM, perlu bekerja keras pastikan kemenangan

SABAK BERNAM, 18 JULAI: Dato’ Seri Amirudin Shari menghargai pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan mahu beliau kekal sebagai Dato’ Menteri Besar jika Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mempertahan Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Menurut Amirudin pihaknya akan bekerja keras untuk mencapai kemenangan sekali gus memastikan Selangor kekal ditadbir kerajaan sedia ada.

“Terima kasih cadangan PM (perdana menteri), namun harus membuktikan dengan kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) dan dilaksana bersungguh-sungguh.

“Ini saya percaya dapat ‘consensus’ (persetujuan bersama) daripada pimpinan. Terima kasih atas penghargaan dan pengiktirafan itu tetapi perlu dibuktikan kemenangan dalam PRN.

“Pengumuman ini pertama kali dimaklumkan. Kita akan bekerja keras untuk mencapai kemenangan,” katanya ditemui pada majlis perasmian Program Sentuhan Agro Madani peringkat Selangor di MSekin Wonderland di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar Ibrahim yang merasmikan program itu mencadangkan mahu mengekalkan Amirudin yang juga Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sebagai Menteri Besar jika menang pada PRN yang berlangsung pada Ogos nanti.

Anwar memaklumkan keputusan mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor berikutan prestasi yang baik dalam mentadbir negeri tersebut.

Untuk rekod, Amirudin mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar ke-16 pada 19 Jun 2018 di Istana Alam Shah, Klang.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.


Pengarang :