Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis prapelancaran Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 27 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB hasrat perluas bantuan khas anak istimewa ke sekolah rendah

SHAH ALAM, 27 JULAI: Inisiatif pendidikan kepada anak istimewa yang disediakan Kerajaan Negeri bakal diperluas kepada pelajar sekolah rendah, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau berhasrat menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah harian supaya dapat menghulur bantuan demi menjamin masa depan anak kurang upaya (OKU).

“Insya-Allah kalau diberi mandat akan datang (pilihan raya negeri) kita boleh bekerjasama dengan sekolah. Sekarang kita bantu prasekolah sahaja menerusi Bantuan Didik Anis.

“Lepas ini cita-cita kita nak masuk sekolah harian supaya pelajar istimewa dapat dibantu. Kerajaan Negeri sedia membiayai dan bangunkan guru-guru yang mengajar,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat aktiviti yang dilakukan kanak-kanak istimewa selepas majlis prapelancaran Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 27 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, beliau merasmikan prapelancaran Yayasan Anak Istimewa Selangor (Yanis). Hadir sama EXCO Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Amirudin turut mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi menjayakan penubuhan yayasan yang diletak bawah kendalian MBI.

Yanis juga bakal menerima peruntukan tambahan RM1 juta selama lima tahun untuk melancarkan program yang dapat mensejahterakan kehidupan golongan istimewa.


Pengarang :