Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan insentif SSP MBI sempena program Tekad Pendidikan #KitaSelangor di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 27 Julai 2023. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek (tiga, kiri), Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Zaini Sulaiman (dua, kanan) dan Rektor Universiti Islam Selangor Prof Madya Dato’ Dr Mohd Ravi Abdullah (lima, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

650 mahasiswa asnaf terima sumbangan sijil simpanan premium dari MBI

SERDANG, 27 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM325,000 bagi sumbangan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada mahasiswa asnaf.

Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan sumbangan bernilai RM500 setiap sijil diserahkan kepada 650 mahasiswa asnaf di enam institut pengajian tinggi di Selangor.

Sumbangan melibatkn 36 penerima di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dengan peruntukan RM18,000; Universiti Selangor (Unisel) dengan 111 penerima (RM55,500) dan Universiti Islam Selangor (UIS) dengan 118 penerima (RM59,000).

Selain itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan 125 penerima (RM62,500) dan masing-masing 130 penerima di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan RM65,000 setiap satu.

Menurut MBI salah satu teras di bawah Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporatnya adalah pendidikan yang memfokuskan kepada kebajikan pelajar dan persekitaran belajar kondusif.

“MBI mengguna pakai peruntukan dana wakalah bagi tujuan pendidikan asnaf kategori fakir, miskin, fisabilillah dan gharimin sekiranya memenuhi kelayakan asnaf ditetapkan.

“Bagi mengoptimumkan penggunaan dana wakalah, sumbangan SSP BSN disalurkan sebagai galakan kepada mereka untuk menabung dan membuat simpanan bagi tujuan pendidikan,” katanya.


Pengarang :