Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Madani Harapan DUN Bukit Melawati di tempat letak kereta Hotel Sun Inns Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB kesal Sanusi hina Sultan Selangor dalam kempen politik

KUALA SELANGOR, 13 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kesal berikutan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Tidak kesah berdepan serangan peribadi daripada pemimpin Pas tersebut, Amirudin menganggap ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu kelmarin sebagai tidak wajar.

“Dia (Sanusi) sampai hina Sultan Selangor, dia hina saya tak apa lagi,” katanya dalam program Jelajah Madani peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di sini malam tadi.

“Saya cukup rasa sedih dia (Sanusi) kata Sultan Selangor. Hina pula Sultan Selangor, kononnya Sultan Selangor tidak macam Sultan Kedah”.

“Di sini (Bukit Melawati) tempat asal kesultanan negeri ini. Hey Sanusi, jangan kurang ajar! Orang Selangor akan ajar kamu, ajar Perikatan Nasional pada 12 Ogos nanti”.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Madani Harapan DUN Bukit Melawati di tempat letak kereta Hotel Sun Inns Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Amirudin merujuk ucapan Sanusi dalam ceramah politik di Selayang kelmarin yang kemudian tular di media sosial sejak semalam.

Berdasarkan rakaman, pemimpin Pas berkenaan seolah-olah menyentuh perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terhadap pelantikan Amirudin sebagai Dato’ Menteri Besar.

Beliau menyebut: “Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia macam Amir(udin).

Semakan menunjukkan perkataan cokia tiada dalam kamus dewan sebaliknya ungkapan slanga yang digunakan dalam percakapan harian bagi merendah-rendah sesuatu barangan atau individu.

Amirudin yang juga pengerusi Pakatan Harapan negeri menambah pembangkang ketiadaan hujah yang bersandarkan angka dan fakta hingga mengheret institusi diraja dalam kempen politik.

“Sebab itu mereka ini hanya bermimpi. Mereka sedang mainkan perasaan dan keyakinan mereka sendiri kononnya mereka boleh rampas Selangor,” kata ahli parlimen Gombak itu.


Pengarang :