Khidmat ECRL akan menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang. Foto Facebook ECRL
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bina kemudahan kereta api di Kuala Selangor, pastikan limpahan ekonomi dinikmati

KUALA SELANGOR, 12 JULAI: Kerajaan Negeri akan mencadangkan pembinaan perkhidmatan kereta api di Kuala Selangor sekiranya kembali mentadbir negeri pada penggal hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sudah tiba masanya daerah itu turut menerima limpahan ekonomi selain kemudahan awam yang lebih efisyen.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Madani Harapan DUN Bukit Melawati di tempat letak kereta Hotel Sun Inns Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Jaringan kereta api kita sudah sampai ke Puncak Alam. Puncak Alam ke Kuala Selangor sudah tidak jauh.

“Insya-Allah penggal ini, saya janji kita akan pastikan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Transit Aliran Massa (MRT) sampai ke Kuala Selangor.

“Orang duduk sini juga boleh bekerja di Klang dan Petaling Jaya, ibu bapa pun sudah tidak risau lagi kalau anak kerja jauh,” katanya.

Penyokong yang hadir Jelajah Madani Harapan peringkat DUN Bukit Melawati di tapak parkir pekan Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Berucap di pentas Jelajah Madani peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, malam tadi, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor yakin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bakal memberi dampak yang lebih baik kepada rakyat.

Jelasnya, BN dan HARAPAN masing-masing sudah mempunyai pengalaman luas dalam urusan pentadbiran Selangor dan ia memberi kelebihan kepada gabungan itu.

“Dengan kerjasama erat ini, dengan pengalaman panjang BN mentadbir sebelum ini, ini merupakan gabungan terbaik. Semua tempat akan dapat kita bangunkan,” katanya.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan turut melibatkan laluan atau jajaran stesen di sekitar Puncak Alam di sini.

ECRL yang melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu dijangka beroperasi pada 2027 selain mampu menampung sehingga 5.6 juta penumpang setahun.


Pengarang :