Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Rekod tiga penggal jadi bahan kempen, pastikan teraju Selangor kekal

SHAH ALAM, 23 JULAI: Rekod pentadbiran negeri selama tiga penggal sejak 2008 antara bahan kempen Kerajaan Selangor untuk mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos.

Turut ditawarkan ialah aura pembaharuan yang dibuat, pengalaman, sejarah, prestasi terkini dan rencana masa depan rakyat negeri itu, jelas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) berpengalaman selama 15 tahun dalam pentadbiran negeri dan ia teruji dalam menangani beberapa situasi, iaitu di saat kita menjadi negeri pembangkang.

“Kita bersama kerajaan persekutuan selama 22 bulan, di saat kita jadi negeri yang bakal tumbang dalam Langkah Sheraton dan akhirnya menjadi negeri yang sebati dengan kerajaan sekarang,” katanya.

Bercakap dalam wawancara khas bersama Sinar Harian baru-baru ini, beliau menegaskan gabungan HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) akan menambah kekuatan kepada pakatan itu dari sudut tradisi.

Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri juga akan memantapkan bidang pendidikan terutama selepas sekolah menengah jika terus diberi mandat dalam PRN bulan depan.

Dalam pada itu, beliau percaya sifat rasional, kebijakan dan kemahuan rakyat untuk melihat kesinambungan nikmat hidup dan kemajuan negeri akan membantu HARAPAN kekal mentadbir.

“Kita menjadi negeri yang sentiasa mendengar, menyesuaikan dan memikirkan apa yang terbaik
untuk rakyat dalam beberapa tawaran kita,” jelasnya lagi.

Hari penamaan calon pilihan raya negeri Selangor, dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.


Pengarang :