Ketua Pegawai Kewangan MBI Zannifa Azura Ahmad (kiri) menerima plak keahlian daripada Pengarah Eksekutif UNGCNMB Feroze Nadar (kanan) sebagai simbolik menganggotai UNGC dengan disaksikan Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad di Mangrove Point, Pelabuhan Klang pada 13 Jun 2023. Foto ihsan MBI
AGENSISELANGOR

MBI agensi negeri pertama anggotai kompak global PBB, sokong lestari perniagaan

SHAH ALAM, 18 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menjadi agensi negeri pertama menganggotai Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Malaysia dan Brunei.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata penyertaan berkuat kuasa 29 Mei lalu selaras pelan strategik perniagaan MBI dan 10 prinsip UNGC seperti hak asasi manusia, alam sekitar dan antirasuah.

Norita Mohd Sidek menjelaskan UNGC akan bekerjasama dengan anak syarikat MBI Landasan Lumayan Sdn
bagi membangunkan Gerbang Maritim Selangor berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Melaluinya, MBI akan dapat memanfaatkan bimbingan dan kepakaran ditawarkan selain membangunkan garis panduan serta pelaporan yang lebih baik tentang inisiatif penghargaan terhadap alam sekitar.

“(Selain itu, mewujudkan) kemajuan sosial dan tadbir urus baik selaras wawasan PBB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norita menambah MBI turut menyasar untuk meningkatkan komitmen melalui usaha menggalakkan amalan perniagaan berlandaskan kelestarian kepada semua syarikat milikannya dalam jangka masa panjang.

Majlis penyerahan replika keahlian pemerbadanan itu disaksikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada 13 Jun.

UNGC merupakan inisiatif global yang menggalakkan amalan perniagaan bertanggungjawab dan kemajuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), yang turut disertai lebih 20,000 syarikat di 160 negara.


Pengarang :