Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tengah) bersama Ketua Kampung Jalan Kebun Tengah, Ahmad Muhyidin Dasuki (Kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Shah Alam, Kampung Jalan Kebun Tengah pada 23 Jun 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI belanja lebih RM300,000 bantu mangsa bencana setakat ini

SHAH ALAM, 22 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan RM330,000 setakat ini bagi membantu mangsa bencana di negeri ini.

Ketua tanggungjawab sosial dan korporat komunikasinya berkata dana itu dibelanjakan untuk memberi sumbangan kebakaran, bencana alam, ribut dan banjir.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan disalurkan secara terus daripada pihak MBI atau melalui Ahli Dewan Negeri (ADN) kepada mangsa.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ditemui selepas majlis serahan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“MBI bersedia membantu penduduk terjejas dalam bencana sekiranya kita menerima permohonan daripada mana-mana pihak.

“Bagaimanapun setiap permohonan diteliti terlebih dahulu sebelum bantuan disalurkan kepada pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui dalam satu program di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Azri berkata MBI akan mengadakan program serahan bantuan kepada mangsa bencana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dan DUN Morib dalam masa terdekat ini.

“Seramai 59 mangsa ribut di DUN Taman Templer akan menerima RM300 pada Isnin ini di Dewan Seroja Kampung Bendahara Batu Caves.

“Manakala, sumbangan kepada 152 mangsa ribut DUN Morib akan dibuat dalam masa terdekat dengan masing-masing menerima RM500,” katanya.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyerah sumbangan 50 kit jenazah kepada pihak pengurusan Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Klang pada 5 Julai 2023. Foto Facebook Ahmad Azri

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu melaksanakan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya antaranya termasuklah agihan haiwan korban, insentif haji muassasah dan program tuisyen rakyat.


Pengarang :