PBTSELANGOR

MBPJ lanjut rebat cukai taksiran hingga 31 Julai

SHAH ALAM, 6 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melanjutkan tempoh permohonan Skim Rebat Cukai Taksiran 2023 kepada pemilik rumah mesra alam hijau dan berkarbon rendah di Petaling Jaya.

MBPJ dalam kenyataan di Facebook berkata program yang dilancarkan 1 April lalu itu akan dilanjutkan sehingga 31 Julai ini.

“Skim ini bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup penduduk yang mesra alam hijau ke arah menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya hijau berkarbon rendah.

“Ia terbuka kepada pemilik rumah yang mengamalkan gaya hidup mesra alam hijau dan mampan berdasarkan kriteria air, biodiversiti, sisa, pengangkutan dan tenaga,” katanya.

MBPJ memaklumkan rebat yang ditawarkan adalah maksima 100 peratus cukai taksiran tahunan atau RM500.

Mereka yang berminat boleh memuat turun borang permohonan di laman sesawang www.mbpj.gov.my.

Pertanyaan lanjut boleh hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ di talian 03-7954 1440.


Pengarang :