Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah di Pasar Juadah Apartmen Taman Sri Bayu Ampang pada 5 Julai 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program JER dinanti ramai, pasar jadi pilihan kedua beli barangan dapur

Oleh Diana Abd Wahab

AMPANG JAYA, 6 JULAI: Harga murah dan barangan berkualiti antara faktor orang ramai berulang kali mengunjungi program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri.

Pesara, Ariffin Abdul, 71, berkata dia sentiasa menyemak lokasi penganjuran dan tidak melepaskan peluang pergi ke lokasi yang berhampiran tempat tinggalnya.

“Kualiti barangan setanding pasar raya. Jika beras, ayam atau telur habis, saya tidak ke pasar raya sebaliknya tunggu tarikh jualan murah. Memang berbaloi beli walaupun kadang-kadang perlu menunggu lama sebab ramai pengunjung,” katanya yang hampir 10 kali membeli di jualan murah.

Ariffin Abdul. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Beliau ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Pasar Juadah Apartmen Taman Sri Bayu, di sini semalam.

Bagi suri rumah Rosalind Chinasamy, 67, mengakui teruja mengunjungi jualan murah terutama membeli ayam semurah RM10 seekor.

“Kalau di pasar, ayam bersaiz kecil pun dijual tidak kurang RM15 seekor. Tapi di sini bukan sahaja segar malah saiz ayam besar dan hanya dijual RM10 seekor. Sebab itu saya lebih suka datang ke sini berbanding ke pasar,” katanya.

Rosalind Chinasamy. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Sementara juruelektrik Leong Yoon Fah, 59, yang pertama kali mengunjungi jualan murah mengakui terkejut apabila mendapati barangan yang dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana prihatin kebajikan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga barang dan kos sara hidup.

“Saya harap program ini diteruskan agar rakyat berpendapatan rendah (B40) dapat beli makanan berkhasiat pada harga murah,” katanya.

Leong Yoon Fah. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Jualan murah itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) adalah kesinambungan Jelajah Ehsan Rakyat yang dijenamakan semula pada 1 Jun2023 dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :