Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud ketika majlis pecah tanah Kompleks Komuniti Penyayang Taman Saujana Puchong yang diadakan di Jalan SP 8/3, Taman Saujana Puchong pada 21 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ peruntuk RM73.4 juta laksana 36 projek pembangunan prasarana

SUBANG JAYA, 21 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) optimis 36 projek utama pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan tahun ini dengan kos keseluruhan RM73.4 juta.

Timbalan Datuk Bandarnya Mohd Zulkurnain Che Ali berkata ia merangkumi pembinaan persimpangan bertingkat di persimpangan Persiaran Kewajipan dan persiaran Subang Permai bagi melancarkan penyuraian trafik dengan kos RM51.5 juta.

Timbalan Datuk Bandar MPSJ Mohd Zulkurnain Che Ali. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Ini adalah projek terbesar dalam sejarah MBSJ yang 100 peratus menggunakan duit majlis sekaligus tanda caknanya pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada masyarakat.

“Projek ini dijangka siap pada 2025 dan bakal memanfaatkan kira-kira 15,000 penduduk di kawasan USJ 1,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri majlis pecah tanah Kompleks Komuniti Penyayang Taman Saujana Puchong di sini yang disempurnakan EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud.

Kompleks berkonsepkan dewan terbuka itu dijangka siap Oktober ini dengan pelbagai kemudahan awam seperti tandas, gelanggang pelbagai guna untuk aktiviti sukan dan program kemasyarakatan , tempat jamuan dan majlis perkahwinan selain ruang parkir.

Mohd Zulkurnain berkata projek lain termasuk pembinaan semula Medan Selera Taman Tasik Sri Serdang dengan tambahan kemudahan membabitkan peruntukan kira-kira RM1.5 juta yang dijangka bermula dua bulan lagi.

“Turut terlibat projek naik taraf sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir di Jalan Rotan, Lorong Bertam dan Kampung Batu 14, Puchong dengan kos RM1.78 juta.

“Selain itu pembinaan jalan sambung dan lain-lain kerja berkaitan antara persiaran Taman Perindustrian Kinrara dan Jalan BK 5, Puchong serta projek pembangunan lain yang bakal memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Katanya MBSJ memperuntuk sebanyak 35 peratus daripada keseluruhan Bajet MBSJ 2023 bagi tujuan pembangunan yang memfokuskan kepada dua aspek utama iaitu bina, naik taraf dan ubahsuai (BNU) dan penyelenggaraan.


Pengarang :