Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi ucapan semangat kepada peserta futsal ketika Perasmian Kejohanan Futsal Piala Harapan Bawah 20 Tahun anjuran DUN Sungai Tua di Kampung Sungai Kertas Gombak pada 16 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Miliki ramai pemain berbakat, Selangor berpotensi dominasi sukan futsal negara

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 16 JULAI: Selangor berpeluang berkembang maju dalam sukan futsal kerana mempunyai ramai pelapis berbakat serta mampu bergelar pemain profesional suatu hari nanti.

Dato’ Menteri Besar berkata pada masa ini Selangor juga memiliki dua pasukan kuat yang sering mendominasi liga futsal kebangsaan iaitu Selangor Mac dan Selangor Tot United.

“Selangor Tot tahun lepas nombor tiga,  Selangor Mac nombor satu dan tahun ini pun dua pasukan itu dah masuk separuh akhir.

“Maknanya kita (Selangor) adalah ‘top’ pasukan futsal dan ada peluang besar untuk maju dalam sukan ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap ketika merasmikan Kejohanan Futsal Piala Harapan Bawah 20 tahun DUN Sungai Tua di gelanggang futsal Kampung Sungai Kertas di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi ucapan semangat kepada peserta futsal ketika Perasmian Kejohanan Futsal Piala Harapan Bawah 20 Tahun anjuran DUN Sungai Tua di Kampung Sungai Kertas Gombak pada 16 Julai 2023.
Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tambah Amirudin, sekiranya dikembangkan pemain berbakat negeri ini mungkin boleh menjadi pemain profesional, semi profesional atau menyertai kejohanan biasa.

Mengenai kejohanan hari ini, beliau berharap para pemain akan menikmati kehangatan pertandingan, faham erti kemenangan berpasukan dan bermain dengan penuh semangat kesukanan.

Sementara itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Kertas  Jamil Azaman Razak berkata kejohanan hari ini disertai 16 pasukan dari DUN Sungai Tua dan sekitarnya termasuk Kajang dan Puchong

“Ini adalah kejohanan tahunan untuk melahirkan pemain berbakat dalam sukan futsal.

“Juara kejohanan yang berlangsung sehari ini akan membawa pulang wang tunai RM500, piala pusingan dan hamper,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengambil sepakan penalti sebagai simbolik perasmian Kejohanan Futsal Piala Harapan Bawah 20 Tahun anjuran DUN Sungai Tua di Kampung Sungai Kertas Gombak pada 16 Julai 2023.
Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :