Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Larian Malam Ampang Jaya (AJNR) 2023 di Jalan Pandan Utama, Ampang Jaya pada 15 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPAJ disasar capai status bandar raya dalam tempoh tiga tahun

Oleh Naz Norziela Nasbah

AMPANG JAYA, 16 JULAI: Kerajaan Negeri menyasarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dinaik taraf kepada status bandar raya dalam tempoh tiga tahun.

Dato’ Menteri Besar berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu memenuhi beberapa kriteria antaranya merangka dasar kehidupan lestari yang memenuhi keperluan rakyat di kawasan pentadbirannya.

“Melihat kepada rekod, kemudahan yang dimiliki MPAJ sebenarnya sudah layak namun perlu memastikan PBT mempunyai hasil yang mencukupi untuk mampu menguruskan taraf sebuah bandar raya.

“Kita tidak mahu kualiti yang ada di Ampang Jaya terlalu jauh walaupun masih berstatus perbandaran berbanding bandar raya Kuala Lumpur.

“Justeru, kerajaan Negeri merangka pelan khusus menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menaik taraf kemudahan termasuk membawa industri berkualiti tinggi ke semua kawasan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada program Ampang Jaya Night Run (AJNR) anjuran MPAJ di Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini, malam tadi. Turut hadir Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad.

Pada 11 Januari lalu, Amirudin berkata RS-1 merupakan kemuncak agenda pembangunan negeri yang dirancang dalam tempoh beberapa tahun ini.

Beliau  berkata menerusi Belanjawan Selangor 2019, dasar klusterisasi ekonomi dirangka supaya kemajuan dapat dirancakkan ke segenap kawasan tanpa tertumpu kawasan maju seperti Petaling dan Klang sahaja.


Pengarang :