Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Kampung Sungai Darah, Kuala Selangor pada 18 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Selangor rangka pelan pembangunan lima tahun, 14 sasaran negeri maju

Walau Selangor sudah maju, jauh meninggalkan negeri lain, Kerajaan Negeri terus berusaha meningkatkan kejayaannya demi kesejahteraan penduduk dan juga mengukuhkan ekonomi negara.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan pemimpin dan penjawat awam merangka pelan pembangunan lima tahun Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sehingga 2025.

Dibentang pada 27 Julai tahun lalu, dokumen penting bertema Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur, RS-1 menyediakan 14 petunjuk pencapaian sebagai ukuran kejayaan program ini menjelang atau pada 2025.

Dibahagikan kepada empat tema strategik, RS-1 menyasarkan pendapatan isi rumah penengah penduduk negeri ini meningkat kepada RM9,290 sebulan menjelang 2025. Sasaran ini diletakkan bawah tema Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial.

Cabaran yang sedang dihadapi Kerajaan Negeri, strategi yang dirangka dan program yang disusun antaranya skim Hijrah Selangor, Pusat Wanita Berdaya, Dana Usahawan Mikro Selangor dan Selangor Freelance (padanan kerja). Semua program ini seperti Skim Hijrah Selangor dan Dana Usahawan Mikro Selangor sudah lama digerakkan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (berdiri, tengah) bergambar bersama selepas menyampaikan Insentif Pertanian Negeri Selangor pelbagai kategori kepada pada 15 Jun 2023 di Laman Kohijrah, Syeksen 15 Shah Alam. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Jumlah tenaga kerja setiap tahun disasarkan antara 3.5 juta hingga 3.8 juta orang dalam tempoh lima tahun sejak 2021. Jumlah itu bersamaan dengan 97 peratus daripada jumlah tenaga buruh di negeri ini.

Guna tenaga dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan dalam aktiviti ekonomi. Saban tahun, pertumbuhan guna tenaga bergerak selari dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di Selangor.

Kerajaan Negeri juga berusaha mengurangkan kadar kemiskinan mutlak kepada 0.7 peratus dan menurunkan kadar kemiskinan relatif kepada 11 peratus. Selangor berada di kedudukan ketiga terendah dalam negara bagi kadar kemiskinan mutlak, sementara tahap kemiskinan relatif pula di kedudukan ketiga tertinggi.

Pelaburan RM35 bilion

Kemiskinan mutlak berlaku apabila pendapatan isi rumah berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) negara. Kemiskinan relatif pula pendapatan keluarga di tahap bawah separuh daripada pendapatan penengah negeri atau negara.

Untuk mencapai sasaran tersebut, Selangor ingin mengekalkan pertumbuhan purata KDNK antara 6.5 hingga 7 peratus setiap tahun. Negeri ini menyumbang 25.5 peratus kepada KDNK Malaysia pada 2022.

Pertumbuhan KDNK meningkat kepada 11.9 peratus tahun lalu berbanding 6.9 peratus pada 2018 dan 6.7 peratus (2019). Pertumbuhannya -5.3 peratus pada 2020 akibat kemelesetan sewaktu pandemik Covid-19. Namun, kadar ini meningkat kepada 5.0 peratus setahun kemudian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plat perasmian Nazbell Cottage & Garden ketika majlis pelancaran Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

“Sasaran ini lebih tinggi daripada purata pertumbuhan lima tahun Selangor dan pertumbuhan Wilayah Tengah yang diunjurkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12),” laporan RS-1 dipetik.

Selangor juga mahu meraih pelaburan RM25 bilion hingga RM35 bilion setahun. Sasaran pelaburan, KDNK dan guna tenaga dimasukkan bawah tema Pengukuhan Ekonomi.

Tema ini menumpukan sembilan sektor iaitu pelabuhan dan logistik, pelancongan, automotif, aeroangkasa, agroteknologi, elektrik & elektronik serta kejuruteraan & mesin, industri halal, sains hayat dan ekonomi digital.

Di bawah tema Pengukuhan Ekonomi, tiga daerah di Selangor dimajukan: Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) di Kuala Langat dan Sepang, Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (ZPE SMG) di hilir Sungai Klang.

Bagi menggerakkan ekonomi, Kerajaan Negeri mensasarkan penembusan jalur lebar berkelajuan tinggi hingga 70 peratus bagi setiap 100 premis menjelang 2025.

“Akses (capaian) internet untuk kawasan bandar di Selangor hanya merekodkan 53.1 peratus bagi penggunaan jalur lebar tetap pada tahun 2020, berbanding dengan 93.4 peratus di Singapura,” laporan RS-1 dipetik.

“RS-1 menyasarkan untuk menambah sekurang-kurangnya 300 syarikat startup (pemula), 10,000 pengguna aktif dalam pasaran ekonomi gig dan sekitar 20,000 profesional berkemahiran menjelang tahun 2025.”

Kesejahteraan keluarga

Menjelang 2025, Selangor menetapkan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) pada skala 8. Justeru, menerusi RS-1, enam bidang tumpuan telah dikenal pasti memberi impak kepada kesejahteraan rakyat.

Diperkenalkan pada 2011, IKK mengukur lapan bidang kesejahteraan keluarga seperti kesihatan, ekonomi, perumahan, kerohanian, keselamatan dan telekomunikasi dengan skor 0-4 sebagai rendah, 5-7 (sederhana) dan 8-10 (tinggi).

Untuk tema Pemacuan Kelestarian pula, Kerajaan Negeri menetapkan tiga sasaran antaranya memastikan bekalan air bersih sentiasa terjamin secara 24 jam.

Bagi menghadapi masalah pencemaran sungai yang kerap berlaku beberapa tahun kebelakangan ini, Selangor menyediakan program Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) pada tahun 2020.

Berkat pemantauan 24 jam Pasukan Tindakan Segera (PANTAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mencegah pencemaran masuk ke muka sauk yang boleh mengakibatkan henti tugas loji rawatan air (LRA).

SJAM juga berupaya menjamin operasi LRA tidak terjejas meski berlaku pencemaran apabila projek pembinaan infrastruktur pengepaman dari kolam takungan Sungai Selangor siap pada 2024.

Selain itu, Pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 juga dibuat bagi meningkatkan bayaran denda minimum RM200,000 hingga maksimum RM1 juta dan penjara mandatori atas kesalahan pencemaran air.

Selangor juga menetapkan tiga sasaran bawah tema Tadbir Urus SMART dan Berkesan, antaranya semua pihak berkuasa tempatan berada di kedudukan 10 teratas pada peringkat kebangsaan.

Kerajaan Negeri juga menyasarkan pendigitalan perkhidmatan awam sehingga 85 peratus, kadar kitar semula sisa 15 peratus, pengurangan gas rumah hijau 35 peratus dan semua projek berdampak tinggi bawah RS-1 selesai 100 peratus.

 


Pengarang :