Operasi merobohkan struktur tambahan oleh kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 25 Mei 2022. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ: Program pemutihan ubah suai premis tanpa kebenaran dilanjut Disember 2024

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

AMPANG JAYA, 13 JULAI: Program pemutihan bagi menangani isu pembinaan tambahan dan ubah suai bangunan tanpa kebenaran yang berakhir 30 Jun akan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun depan.

Pengarah Jabatan Bangunan Dan Senibina Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ahmad Alhairi Mohamed Yusuf berkata, lanjutan tempoh bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai pemilik menyertai program tersebut.

“Program Pemutihan Kelulusan Pelan Bangunan Rumah Kediaman Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan dilanjutkan dari 1 Julai 2023 sehingga 31 Disember 2024.

“Ini akan memberi peluang kepada lebih ramai pemilik rumah untuk menyertai program pemutihan bagi meperolehi kelulusan pelan bangunan sekali gus menyelesaikan masalah pembinaan dan pengubahsuaian yang tidak mematuhi garis panduan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Perasmian Program Arcreate @ MPAJ Festival Arkitek Kuala Lumpur (KLAF) 2023 di Auditorium Menara MPAJ, hari ini.

Jelas beliau, MPAJ menerima lebih 150 permohonan menyertai program pemutihan tersebut sejak dilaksanakan antara 1 Julai 2021 hingga 30 Jun 2023.

“MPAJ menyeru kepada semua warga Ampang Jaya mengambil peluang ini kerana program pemutihan ini memberi pelbagai manfaat.

“Antaranya memastikan semua pembinaan mendapat kelulusan MPAJ dan sijil siap dan pematuhan (CCC) serta memudahkan proses jual beli, cagaran bank, tuntutan insurans dan sebagainya,” katanya.

Mereka yang ingin berbuat demikian boleh hubungi Hubungi Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ di talian 03-42757009 atau e-mel ke [email protected]

Operasi merobohkan struktur tambahan oleh kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 25 Mei 2022. Foto Facebook MPAJ

 


Pengarang :