Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang Jalur Gemilang sekitar Dataran Shah Alam sempena bulan kemerdekaan pada 19 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPK seru premis perniagaan pasang Jalur Gemilang di bulan kemerdekaan

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Premis perniagaan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) diseru mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 tahun ini.

Yang Dipertuanya berkata program Kibar Jalur Gemilang peringkat MPK akan diadakan di pekarangan lobi ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada 7 Ogos depan.

“Oleh itu, saya amat mengharapkan kerjasama daripada premis perniagaan untuk bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis perniagaan masing-masing,” kata Noraini Roslan.

Bercakap pada mesyuarat penuh bulanan MPK, Noraini berkata MPK juga mengedarkan notis pemasangan Jalur Gemilang di seluruh premis kerajaan, perniagaan dan bangunan swasta sekitar Klang.

Pada 16 Julai lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyeru semua pihak supaya mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat cintakan negara, seterusnya memeriahkan Bulan Kebangsaan dan sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia.

Fahmi yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata rakyat di negara ini perlu mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh megah di mana-mana sahaja terutama kediaman, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan swasta serta kenderaan masing-masing.


Pengarang :