Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM), ahli majlis serta wakil penduduk Zon 12 menanam pokok di persimpangan Jalan SJ 17, Taman Selayang Jaya pada 18 Julai 2023. Foto Facebook MPS
PBTSELANGOR

MPS tanam 70 anak pokok atasi isu tapak sampah longgok

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

SHAH ALAM, 21 JULAI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui jabatan lanskap menyumbang 70 anak pokok untuk ditanam di tapak sampah longgok berdekatan persimpangan Jalan SJ 17, Taman Selayang Jaya.

Menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan itu, program ‘Hotspot to Greenspot’ dilaksanakan bagi menangani masalah tapak sampah longgok yang menjejaskan pemandangan kawasan tersebut.

“Program ini melibatkan kerjasama ahli majlis Zon 12, wakil penduduk JKP Zon 12 MPS, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS serta KDEB Waste Management (KDEBWM). Pengindahan semula tapak ini dilaksanakan supaya menjadi kawasan hijau.

“Kawasan tersebut sebelum ini merupakan lokasi panas pembuangan sisa sampah pukal dan domestik yang menjejaskan kebersihan persekitaran,” katanya menerusi Facebook.

KDEB Waste Management (KDEBWM) membersihkan tapak sampah longgok di persimpangan Jalan SJ 17, Taman Selayang Jaya pada 18 Julai 2023. Foto Facebook MPS

Pengarang :