Penyandang DUN Kajang Hee Loy Sian, bersama Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan meninjau Sungai Langat pada program sesi Townhall : Mencari Penyelesaian Isu Banjir Antara Agensi Pusat & Negeri Dengan Penduduk Taman Perumahan Jalan Reko di Jalan Reko pada 11 Jun 2023. Foto FHATIHAH ZAKINAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Naik taraf tebing Sungai Langat, atasi banjir kilat di DUN Kajang

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kerja penyelenggaraan dan naik taraf tebing jajaran Sungai Langat berjaya mengurangkan risiko banjir kilat beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Penyandang DUN Hee Loy Sian berkata sejak projek naik taraf dibuat, pihaknya mendapati dalam tempoh setahun setengah kebelakangan ini tiada banjir kilat berlaku di kawasan berisiko.

“Kita naikkan tebing Sungai Langat supaya air tidak melimpah ke taman berdekatan yang sering menyebabkan banjir kilat berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Loy Sian berkata menyelesaikan masalah banjir kilat antara keutamaannya sepanjang diberi mandat menerajui kawasan berkenaan.

“Selesaikan masalah banjir kilat itu paling utama. Diharap perkembangan ini berterusan dan dapat menyelesaikan risiko banjir kilat yang memberi kesan kepada penduduk,” katanya.

Sebelum ini Loy Sian berkata pembinaan benteng dan ban konkrit di tebing Sungai Langat melibatkan peruntukan RM1.2 juta dilaksanakan di empat kawasan meliputi Taman Sri Langat, Taman Mahkota, Taman Pasir Mas dan Taman Bangi.


Pengarang :