EXCO Keusahawanan Rodziah Ismail (tengah) ketika program Jom Rewang dan Makan Kenduri sempena Aidiladha di Surau Raudhah Al-Muttaqin, Seksyen 4, Shah Alam pada 2 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri, AADK bekerjasama bantu bekas penagih jana pendapatan

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kerajaan Negeri bakal bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membantu bekas penagih membina kembali kehidupan dengan berniaga.

EXCO Keusahawanan Rodziah Ismail berkata individu berkenaan memerlukan sokongan untuk memulihkan kehidupan dan tidak sewajarnya disisih daripada kelompok masyarakat.

“Insya-Allah hujung bulan ini kita akan mulakan kerjasama dengan AADK daerah Petaling terlebih dahulu sebelum diperluas ke daerah yang lain.

“Program ini lebih berkonsep bimbingan keusahawanan kepada bekas penagih yang mana kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan untuk membantu golongan ini mencari pendapatan sendiri.

Peserta bergotong-royong pada program Jom Rewang dan Makan Kenduri sempena Aidiladha di Surau Raudhah Al-Muttaqin, Seksyen 4, Shah Alam pada 2 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sebelum ini kita pernah membantu golongan seperti ini dengan memberi mereka peluang mengusahakan kebun komuniti dan hasilnya boleh dijual sekali gus menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jom Rewang dan Makan Kenduri sempena Aidiladha di Surau Raudhah Al-Muttaqin, Seksyen 4 di sini semalam.

Ketua Unit Pencegahan AADK daerah Petaling Syamsul Azli Jamaluddin

Sementara itu, Ketua Unit Pencegahan AADK daerah Petaling Syamsul Azli Jamaluddin berkata pihaknya menyambut baik usaha Kerajaan Selangor mahu membantu bekas penagih.

“Golongan ini memang perlu terlibat dalam aktiviti masyarakat dan seharusnya diberi peluang untuk menjalani hidup seperti biasa. Sokongan daripada masyarakat setempat juga penting.

“Kita hargai bantuan diumumkan Yang Berhormat EXCO (Rodziah Ismail) tadi, dan amat menggalakkan pihak berkaitan memberi ruang kepada bekas penagih ini tempat dalam sektor pekerjaan, jangan sisihkan mereka,” katanya.


Pengarang :