Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) bersama Timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan EXCO Perumahan Rodziah Ismail beramah mesra dengan penduduk pada Majlis Perasmian Projek Penggantian Lif di PPR Kota Damansara, Petaling Jaya pada 18 Julai 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri salur RM20 juta cat semula perumahan berstrata, kos rendah di 56 DUN

PETALING JAYA, 18 JULAI: Sejumlah RM20 juta diperuntuk Kerajaan Negeri untuk kerja mengecat semula perumahan berstrata dan kos rendah yang uzur.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata peruntukan bawah projek Inisiatif Selangor Penyayang disalurkan bermula awal tahun ini kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Menerusi inisiatif ini kita mengecat kawasan yang dah lama sangat yang sudah sangat uzur. Kita sudah mulakan sejak awal tahun ada yang sudah siap seperti di Pelabuhan Klang dan dalam proses seperti di Shah Alam dan Sepang.

“Sekurang-kurangnya satu kawasan di setiap DUN kita baik pulih khususnya untuk mengecat dan ia tidak semestinya Program Perumahan Rakyat (PPR), rumah kos rendah juga (terlibat),” katanya hari ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) diiringi Timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan EXCO Perumahan Rodziah Ismail ketika merasmian Projek Penggantian Lif di PPR Kota Damansara, Petaling Jaya pada 18 Julai 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Terdahulu, beliau mengiringi Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bagi merasmikan projek penggantian lif di PPR Kota Damansara di sini.

Projek berkenaan membabitkan penggantian 12 lif baharu di empat blok PPR Kota Damansara dengan kos RM3.7 juta.

Turut diwujudkan ruang komuniti, baik pulih besi penghadang di lereng bukit dan papan tanda di PPR Kota Damansara hasil sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) rakan strategik dan agensi di bawah KPKT.


Pengarang :