Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar ditemui etika program Jom Rewang dan Kenduri sempena Aidiladha di Surau Raudhah Al-Muttaqin, Seksyen 4, Shah Alam pada 2 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Nurul Izzah gesa parti politik noktahkan serangan fitnah, sentuh isu perkauman

SHAH ALAM, 2 JULAI : Semua parti politik digesa menoktahkan serangan terhadap lawan dengan fitnah dan isu perkauman terutama ketika berkempen menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar berkata beliau bimbang penularan berita palsu yang semakin berleluasa akan menggugat keharmonian masyarakat.

“Saya bimbang penularan berita palsu serangan yang tidak membangkitkan semangat dan kritikan membina. Ya, dalam kempen perlu ada serangan.

“Tetapi kita harus menoktahkan serangan berunsur fitnah yang boleh mewujudkan elemen kebencian perkauman. Tidak kira mana-mana parti politik harus tolak budaya tidak sihat ini,” katanya.

Dari kanan, Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik Najwan Halimi, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim turut sama membantu petugas bergotong royong memotong daging ketika program Jom Rewang dan Kenduri sempena Aidiladha di Surau Raudhah Al-Muttaqin, Seksyen 4, Shah Alam pada 2 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau menghadiri program Jom Rewang & Makan Kenduri sempena Aidiladha di Surau Raudhah Al-Muttaqin, Seksyen 4, di sini hari ini.

Nurul Izzah yang juga mantan ahli parlimen Permatang Pauh berkongsi beliau juga akan turun padang di Pulau Pinang dan Kedah untuk berkempen pada PRN nanti.

“Saya ditugaskan oleh Jabatan Pilihan Raya Pusat untuk bertugas di Pulau Pinang dan insya-Allah saya akan turun juga di Selangor bagi membantu jentera Pakatan Harapan di sini,” katanya.

Pada 23 Jun, Dewan Negeri Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan untuk membuka laluan kepada PRN diadakan.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.


Pengarang :