Calon DUN Sungai Tua Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan program KEMAS Dan perasmian Pertandingan Sepak Penalti di Padang Awam Wira Damai, Gombak pada 30 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Padang Kampung Wira Damai akan dipasang rumput sintetik, lampu limpah

OLEH AZIAN AZIZ

GOMBAK, 30 JULAI: Padang awam Kampung Wira Damai di sini akan dinaik taraf menjadi padang sintetik yang dilengkapi lampu limpah untuk kemudahan anak muda melakukan aktiviti sukan.

Dato’ Menteri Besar berkata naik taraf yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta akan menggunakan peruntukan ahli parlimen Gombak.

“Sebenarnya padang Kampung Wira Damai ini telah cuba dibangunkan semula dua kali (tanam rumput) tapi tak berjaya kerana keadaan tanahnya tak rata.

“Jadi kita akan bangunkan padang sintetik dan laksanakan menggunakan peruntukan Parlimen (Gombak) yang sedia ada tanpa tunggu pembentukan Kerajaan Negeri pun kita dah boleh laksanakan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua itu berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Liga Penalti Piala Harapan DUN Sungai Tua di padang awam Kampung Wira Damai hari ini.

Beliau turut menyatakan hasrat menghidupkan semula Akademi Merah Kuning yang sebelum ini berjaya mengumpulkan 1,000 pemain bola sepak berbakat.

Katanya, Liga Bola Sepak Daerah Gombak juga akan dianjurkan semula bagi melahirkan pemain di DUN Sungai Tua dan Parlimen Gombak.

Terdahulu dalam program ‘walkabout’ di Pasar Selayang Baru Amirudin memberitahu pihaknya akan membantu mempromosi pasar tersebut agar dikunjungi lebih ramai pelanggan selepas ini.

Ujarnya penyelenggaraan pasar tersebut juga akan ditambah baik dan kemudahan seperti lampu dan lantai juga akan dinaik taraf kepada yang lebih sesuai.


Pengarang :