Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang Daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ pada 12 Mac 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pakar: Ekonomi boleh terjejas jika PN kuasai Selangor, Pulau Pinang

SHAH ALAM, 31 JULAI: Ekonomi Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan terjejas jika Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, menurut pakar ekonomi.

Penilaian mereka itu berdasarkan penelitian pada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan langsung asing (FDI) dan unjuran hasil tahunan setiap negeri terbabit, lapor Free Malaysia Today hari ini.

Geoffrey Williams, profesor Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, percaya perubahan pentadbiran tiga negeri tersebut kepada parti baharu boleh merosakkan iklim pelaburan asing.

Namun ahli akademik itu yakin negeri-negeri tersebut berjaya dipertahankan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan Barisan Nasional (BN).

Ditadbir HARAPAN sejak 2008, Selangor dan Pulau Pinang menyumbang 30.29 peratus KDNK pada 2021. Tiga negeri yang dikuasai PN iaitu Terengganu, Kedah dan Kelantan bersama Negeri Sembilan (HARAPAN-BN) menyumbang hanya 10.88 peratus KDNK.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan sumbangan Selangor kepada KDNK meningkat kepada 25.5 peratus pada 2022 berbanding 24.8 peratus tahun sebelumnya.

Williams berkata kegagalan BN mendapat sokongan pengundi boleh menjejaskan parti tersebut dan seterusnya kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.

“Keadaan ini boleh membuka peluang kepada perubahan di peringkat kerajaan persekutuan, lagi, yang merosakkan kestabilan ekonomi, keyakinan pelabur dan FDI,” tambahnya.


Pengarang :