Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pemenang sukan Kabaddi Piala Harapan peringkat DUN Sungai di Dewan Terbuka Padang Awam Batu Caves pada 23 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pasukan Puchong Brothers juara kabaddi peringkat DUN Sungai Tua

Oleh Fhatihah Zakinan

GOMBAK, 24 JULAI: Pasukan Puchong Brothers berjaya merangkul kejuaraan dalam pertandingan sukan kabaddi Piala Harapan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Pasukan tersebut membawa pulang wang tunai RM500 dan pingat, mengalahkan tujuh pasukan lain.

Pasukan Kampung Pandan dan BL Academy, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga menerima RM300 dan RM200 serta pingat.

Penganjur, K M Puventhiran berkata sukan kabaddi berpotensi untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi dengan lebih banyak penyertaan dalam kalangan golongan belia kaum India.

“Sukan kabaddi ini secara tidak langsung mendidik individu yang terlibat dalam sukan ini aspek disiplin, bagaimana bekerja dalam satu pasukan.

“Saya harap lebih banyak aktiviti sukan dianjur terutama dalam kalangan belia. Saya percaya belia yang aktif akan mengurangkan risiko terjebak dalam kegiatan jenayah,” katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat Padang Awam, Batu Caves, di sini, semalam.

Pada majlis sama, Dato’ Menteri Besar yang juga penyandang kerusi DUN Sungai Tua turut merasmikan Program Sihat Wanita Pound Fitness.

Sementara itu, penganjur Program Sihat Wanita, Siti Norhayati Radikun berkata, sambutan sangat menggalakkan apabila menerima lebih 200 penyertaan dalam program sihat, iaitu melebihi daripada sasaran.

“Tujuan penganjuran program ini untuk membawa wanita kembali aktif selain menjaga stamina tubuh badah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, tidak lama lagi,” kata Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) DUN Sungai Tua itu.


Pengarang :