Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan ratusan pekerja p-panggilan sewaktu program Selangor X Belia P-Hailing di Laman MBPJ Petaling Jaya pada 22 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pekerja p-panggilan gembira jumpa PM, ada ruang luah masalah

PETALING JAYA, 23 JULAI: Kebanyakan pekerja ekonomi sampingan menganggap program bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, usaha terbaik membela nasib golongan itu.

Pekerja p-panggilan Mohd Shahrizad Isa, 36, berpendapat pertemuan itu membuka peluang kepada kumpulan berkenaan untuk menyatakan keluhan dan masalah dihadapi mereka.

Mohd Shahrizad Isa

“Sebenarnya tidak menyangka ada program ini, namun apabila diberi peluang kami dapat bercakap secara terus dengan perdana menteri untuk bercerita permasalahan sebenar yang menimpa.

“Kami berharap segala keluhan yang disuarakan dalam sesi ini mendapat perhatian dan ada penyelesaiannya,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Seorang lagi pekerja p-panggilan Nur Mas Shahkirah Mas Sahak, 25, berkata program tersebut perlu diadakan setiap tahun bagi mengetahui perkembangan semasa sektor berkenaan.

Nur Mas Shahkirah Mas Sahak

Mula terlibat sejak 2019, dia mendakwa kadar upah penghantaran yang diterima sekarang semakin rendah dan membebankan mereka di sebalik ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

“Apabila ada program ini, kerajaan dapat tahu apa yang sedang menimpa kami semua. Moga ada satu kata putus dan penyelesaian hitam putih berhubung isu kadar bayaran penghantaran,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam meluluskan RM1 juta untuk membentuk jawatankuasa pekerja ekonomi sampingan bagi membela kebajikan mereka.

Mengumumkan perkara itu menerusi program Temu Anwar Selangor X Belia P-Hailing, jawatankuasa tersebut memudahkan golongan p-panggilan menyampaikan pandangan dan masalah dihadapi.


Pengarang :