Suasana di sekitar Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Pelbagai inisiatif jadikan Selangor hab halal global

Pasaran halal global diunjur berkembang kepada RM23.2 trilion menjelang 2030. Di Malaysia, pasaran halal dijangka mencapai nilai RM526.5 bilion dalam tempoh tujuh tahun.

Di Selangor, empat sektor teras industri halal ialah makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik dan penjagaan peribadi. Dua lagi, fesyen, peralatan perubatan dan pelancongan perubatan.

Enggan mensia-siakan peluang terhidang, Kerajaan Negeri melaksana Pelan Tindakan Halal Selangor (SELHAP) 2020-2030 menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Sebanyak 10 inisiatif dijalankan iaitu mewujudkan Platform Maklumat Pusat (CIP), Operator Halal Diperakui (AHO), Promosi Halal Selangor, Pembiayaan Halal Selangor, Zon Ekonomi Halal Selangor dan Program Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Selangor.

Inisiatif lain ialah Pembangunan Kapasiti Halal Selangor, Koperasi Halal Selangor, Hab Perniagaan Halal Selangor dan Pangkalan Data Bahan Mentah Halal.

Usaha terbaru itu kesinambungan kejayaan Kerajaan Selangor pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meletakkan negeri ini sebagai hab halal global.

Realitinya, pencapaian negara dan negeri dalam industri halal memberangsangkan. Sehingga 2022 sebanyak RM16 bilion pelaburan di taman halal termasuk di Selangor dan RM9.5 bilion pelaburan langsung asing (FDI), lapor Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Kewujudan portfolio Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri diketuai Mohd Zawawi Ahmad Mughni, memangkin kejayaan Selangor dalam industri halal.

Antaranya penganjuran Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) yang sudah memasuki tahun kedua.

Tujuan utamanya menyediakan platform ulung dalam industri halal di Asean dan Malaysia bagi meluaskan rangkaian pemasaran.

Penganjuran pertama pada Mac 2022 mencatat transaksi bernilai RM37.73 juta, melebihi jangkaan awal sebanyak RM20 juta.

Padanan perniagaan pada Selhac 2023 pula mencatat transaksi bernilai RM57.4 juta, sekali lagi mengatasi sasaran RM50 juta.

“Sebelum ini (industri halal) di bawah EXCO pelaburan tetapi kita mahu rangkai Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor sebagai pemegang dasar.

“Kita pernah dijemput ke persidangan antarabangsa dan baru-baru ini ke Kanada untuk berkongsi pengalaman mengenai halal,” kata EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada program bual bicara anjuran Media Selangor pada Disember 2020.

Kakitangan Zaiyadal Sdn Bhd mengisi lauk kedalam bekas bagi memberi orang ramai mencuba ketika Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Baucar halal

Dalam Belanjawan Selangor 2023, Amirudin memperkenalkan program Baucar Halal dengan peruntukan RM1 juta.

Selain membantu golongan memerlukan, pada masa sama ia mempromosikan produk halal. Seramai 2,800 penduduk pendapatan rendah di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima baucar halal bernilai RM100.

Kerajaan Negeri juga menubuhkan anak syarikat, HIS Toyyiba Sdn Bhd bagi melaksanakan inisiatif berkaitan halal.

Antaranya menyertai Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) dan Selangor International Business Summit (SIBS).

Selain itu, HIS Toyyiba juga aktif menyertai ekspo di luar negara seperti di Thailand, Indonesia dan Australia.

Pada Disember 2021, Kerajaan Negeri melancarkan inisiatif Halal Suri Darul Ehsan (Halal Suri) bagi membantu suri rumah dan ibu tunggal menjana pendapatan dalam bidang makanan sejuk beku.

Seramai 56 peserta menerima bantuan peti sejuk beku daripada Kerajaan Negeri dalam bentuk geran padanan bernilai RM2,000.

Produk terpilih oleh peserta turut mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Penganjuran inisiatif Halal Suri 2.0 pada Jun 2022 telah berjaya menarik lebih 100 penyertaan.

Kerajaan Negeri turut menganjurkan kursus Penyediaan Makanan Halal (Pelapah).

Kursus ini diadakan bagi mencapai matlamat ‘Selangor Cakna Pengurusan dan Pengendalian Halalan Toyyiban’.

Pada siri pertama sebanyak 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit pada Mei hingga Jun 2022.

Berikutan sambutan menggalakkan, siri kedua diadakan di 10 DUN dengan membabitkan 150 peserta dari setiap kawasan sepanjang Jun 2023.


Pengarang :