Suasana sekitar program Jualan Rahmah di Tapak Pekan Sehari Dong, Raub. Foto Facebook Jabatan Penerangan Pahang
AGENDANASIONAL

Pembeli kali pertama Jualan Rahmah tidak lepas peluang, harap program diteruskan

RAUB, 22 JULAI: Pengunjung kali pertama Jualan Rahmah tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga murah selepas hanya kerap mendengar tentang pelaksanaannya sebelum ini.

Mereka berharap program itu yang menawarkan harga sekitar 30 peratus lebih murah daripada pasaran diteruskan setiap tahun kerana amat membantu rakyat berjimat dalam perbelanjaan bulanan.

Pekerja swasta Ariff Mohamad, 31, tidak melepaskan peluang untuk mengisi almari barangan kering di rumah apabila melihat barangan yang dijual bukan hanya barangan basah, namun turut meliputi barangan keperluan rumah yang lain.

“Walaupun sering mendengar tentang Jualan Rahmah, ini kali pertama saya hadir kerana (diadakan) berdekatan rumah. Banyak barangan dijual dan memang berbaloi kerana ada juga barangan seperti sabun mencuci baju dan pewangi pakaian, selain barangan basah,” katanya semasa ditemui di Jualan Rahmah sempena Karnival Kita MADANI Peringkat Pahang di Tapak Pekan Sehari Dong di sini hari ini.

Karnival itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Fadzli Mohamad Kamal.

Antara barangan dijual termasuk ayam pada harga RM9 seekor, minyak masak dua kilogram (kg) ditawarkan RM11 sebotol, milo bagi paket satu kg berharga RM15.99 dan susu tepung Dutch Lady pada harga RM20.99 bagi paket 850 gram.

Guru taska Ummu Syufaqah Che Hamid, 29, mengakui baru memahami mengapa Jualan Rahmah sangat dinanti-nanti di mana sahaja lokasi penganjurannya.

“Barangannya adalah jenama yang biasa kami gunakan. Disebabkan waktu sudah petang, saya ingatkan barangan jualan sudah habis, namun jangkaan itu meleset.

“Pekerja pantas menambah stok apabila barangan hampir habis,” katanya yang mengetahui tentang jualan itu daripada kumpulan WhatsApp taman perumahan.

Kakitangan kerajaan Aiman Azhar, 37, pula berharap Jualan Rahmah itu akan ‘singgah lagi’ di daerah Raub pada masa akan datang, bagi meringankan beban kewangan rakyat terutama golongan B40 dan mereka yang tinggal di pedalaman.

Bagi peniaga gerai makanan Umi Kalsom Abu, 49, pula mengambil peluang untuk membeli barangan yang diperlukan untuk berniaga seperti cili kering, bawang dan halia, yang diharapkan dapat bertahan untuk seminggu.

“Kami berniaga kecil-kecilan sahaja di kampung untuk menambah pendapatan keluarga. Walaupun tidak boleh membeli secara pukal, namun ini sangat membantu mengurangkan sedikit modal berniaga,” katanya yang menetap di Kampung Ulu Atok di sini bersama enam ahli keluarga.

– BERNAMA


Pengarang :