Peserta e-sukan memulakan pertandingan Mobile Legends pada majlis perasmian Kemahiran e-Sukan Robotik XTIV Selangor Fasa 2 di Dewan MDKS, Saujana Utama pada 22 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peminat e-sukan impi peluang bertanding peringkat antarabangsa

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KUALA SELANGOR, 23 JULAI: Program Kemahiran e-Sukan Robotik XTIV Selangor 2023 bukan hanya menjadi medan mengasah bakat e-sukan malah membuka peluang kepada peminatnya menggapai impian bertanding ke peringkat antarabangsa.

Aiman Syafiq Rosmadi

Pemain Mobile Legends, Aiman Syafiq Rosmadi, 23, berkata beliau komited mempersiapkan diri bagi menyertai sebarang pertandingan bermula di peringkat Asia Tenggara.

“Saya telah menyertai banyak kejohanan e-sukan dan beberapa kali menjuarainya. Daripada bermain untuk suka-suka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kini e-sukan telah menjadi kerjaya saya.

“Saya berimpian untuk mewakili negara hingga ke peringkat Asia Tenggara dan antarabangsa, justeru program ini platform yang bagus untuk belia mengasah kemahiran,” katanya.

Muhammad Aiman Abdullah

Pelumba kereta lumba mini pacuan empat roda Tamiya, Muhammad Aiman Abdullah, 16, pula berkata beliau tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan tersebut kerana minat mendalam terhadap hobi yang bermula sejak sekolah rendah.

Pelajar Kolej Vokasional Sungai Buloh itu juga berpendapat walaupun hanya permainan kereta, ia sebenarnya dapat melatih diri fokus, lebih teliti dan kreatif bagi memastikan jentera lumba dapat memecut dengan laju.

“Bermain kereta Tamiya ini bukan sekadar hobi bagi saya, tapi dapat menjauhkan belia daripada perkara tidak berfaedah dan membuang masa,” katanya.

Muhd Jais Abd Razak

Sementara itu, Muhd Jais Abd Razak, 43, yang membawa dua anaknya berusia 10 dan 13 tahun dalam pertandingan Tamiya berkata program seumpama itu diharap dapat dilaksanakan lebih kerap.

“Saya sendiri memang bermain Tamiya dari kecil lalu saya pupuk minat yang sama kepada semua anak kerana mahu masa mereka terisi dengan perkara berfaedah sekaligus terhindar daripada gejala sosial,” katanya.


Pengarang :