Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika sesi pendengaran awam bersama rakyat anjuran Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam pada 24 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pendidikan politik, nilai setiap undi wajar bermula peringkat sekolah

SHAH ALAM, 26 JULAI: Pendidikan politik wajar diterapkan seawal peringkat sekolah rendah dan menengah bagi melahirkan generasi celik politik, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata golongan muda perlu diberi pemahaman politik secara lebih meluas terutama nilai setiap undi yang diberikan dalam pilihan raya.

“Kita perlu pendidikan politik. Di peringkat sekolah rendah dan menengah supaya mereka sedar nilai setiap undi yang mereka sumbangkan akan tentukan lima tahun nasib (mereka).

“Ini (pendidikan) perlu dibuat di sekolah bukan untuk memenangkan mana-mana pihak tetapi untuk survival dan kelangsungan kita,” katanya dalam sesi podcast Sembang Katup Pintu, malam tadi.

Amirudin berkata amat penting memiliki generasi celik politik dan kenegaraan bagi menjamin kestabilan negara.

“Contohnya Brexit (yang berlaku) kerana budak-budak muda rasa tidak perlu untuk keluar mengundi. Saya fikir rakyat Malaysia perlu ambil perhatian terhadap isu ini supaya budaya itu dapat ditangani,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan kebimbangan mengenai budaya  budaya tular terutama dalam kalangan generasi muda yang perlu diberi perhatian mengambil kira kesannya kepada bangsa dan negara.

“Contohnya, sebenarnya kes yang melanda sahabat saya (Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) ini ia bukan kes pertama. Setahun dua ini begitu ramai orang yang tiba-tiba jadi ‘hero’ dalam masa sekelip mata.

“Ini bahaya budaya tular, bahaya dia kepada negara dan bangsa kita ni. Kita terpengaruh dengan viral ini secara automatik jadikan seseorang sebagai tokoh.

“‘Kita meletakkan harapan setinggi langit dan rasa oorang ini akan jadi malaikat. Jadi hal ini yang saya rasa perlu diperbetulkan dalam sistem pendidikan kita supaya kita boleh melawan arus viral itu dengan memahami nilai,” katanya.


Pengarang :