Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menyampaikan Biasiswa Selangor Bitara (BITARA) RM1.1 juta kepada Emir Haady Zulkharnain (dua, kanan) di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Shah Alam pada 31 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk Kelantan cemburu Selangor tawar banyak inisiatif

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seorang penduduk Kelantan menyuarakan rasa cemburu kepada Menteri Besar Selangor berhubung segala tawaran dan inisiatif disediakan Kerajaan Negeri untuk rakyatnya.

Bapa kepada seorang pelajar tingkatan lima itu menyuarakan perkara tersebut dengan menghantar mesej terus kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Menerusi Twitter, penduduk terbabit meluahkan kerisauan berikutan anaknya yang baru tamat belajar di kolej vokasional belum mendapat sebarang tempat untuk menyambung pengajian.

“Assalamualaikum YB.. anak saya baru habis belajar di KV tingkatan 5, namun sehingga kini belum ada tempat untuk untuk sambung belajar. Baru ni anak ada interview untuk sambung tahap 3 melalui Giat Mara namun gagal atas alasan pengambilan pelajar adalah terhad.

“Saya sebagai bapa amat risau diatas kegagalan ini kerana bimbang akan masa depan anak. Apabila saya memerhatikan segala inisiatif Kerajaan Selangor untuk anak-anak Selangor terasa cemburu yang amat sangat.

“Almaklumlah kami tinggal di Kelantan yang mana segala peluang terlalu terbatas. Alangkah untungnya jika kami adalah warga Selangor yang mana pemimpinnya terlalu dekat dgn rakyat. Syabas YB..!! Semoga Selangor tetap di bawah pemerintahan tuan selepas PRN nnti.. insha Allah..aamin ya rabbal alamin, “ tulisnya.

Amirudin yang menerima mesej itu membalasnya dengan mendoakan semoga ada penduduk terbabit dimurahkan rezeki untuk melanjutkan pelajaran di bidang pilihan.

“Terima kasih atas doa dan sokongan.”

Dalam perkembangan sama, berkongsi mesej tersebut, Amirudin memaklumkan bahawa Kerajaan Selangor akan bekerja keras demi rakyatnya.

“Terima mesej yang mengesankan di ‘inbox’ Twitter saya. Insya-Allah jika diberi peluang dan mandat untuk terus mentadbir, kita akan berusaha dan bekerja keras demi rakyat di Selangor ini.

“Terbukti pelbagai program kebajikan di Selangor menjadi bualan rakyat. Alhamdulillah,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memberitahu Kerajaan Negeri membelanjakan RM4.273 juta bagi membiayai kos pengajian 189 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dalam tempoh lima tahun sejak 2018.

Katanya, peruntukan bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor membabitkan sebahagian daripada 11 program pembiayaan pendidikan.

Malah, sepanjang pentadbirannya beliau menyediakan lima pakej rangsangan untuk menyerap kesan pandemik selain bantuan pascabanjir manakala 46 skim kebajikan diterus menerusi lItizam Selangor Penyayang.


Pengarang :