Penduduk Taman Keramat menyenak Notis 5A yang diterima ketika majlis penyerahan tersebut di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya Taman Keramat, Ampang Jaya pada 24 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk Taman Keramat lega hak milikan tanah dilanjut hingga 99 tahun

AMPANG JAYA, 25 JULAI: Kebanyakan penduduk generasi pertama di Taman Keramat di sini lega permohonan lanjutan hak milikan tanah kepada 99 tahun diluluskan Kerajaan Selangor.

Salah seorang penduduk Abdul Aziz Mohd Noor, 67, berkata meski tempoh tamat pajakan tanah berbaki lebih 60 tahun, namun mereka mengambil peluang memperbaharuinya pada saat awal.

Abdul Aziz Mohd Noor

“Tempoh pemilikan tanah ini tamat lambat lagi pada 2086 tetapi kita mengambil langkah awal melanjutkan kepada 99 tahun memandangkan harga premium tanah yang masih rendah.

“Bimbang juga jika harga premium tanah pada masa akan datang meningkat berganda dan ini juga demi kesenangan anak cucu kita nanti,” katanya yang mengakui selesa tinggal di kawasan berkenaan.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian surat kelulusan pemilikan tanah (Notis 5A) kepada 46 pemohon oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di sini semalam.

Norain Mohamad Noor

Sementara itu, Norain Mohd Noor, 60, bersyukur keputusan pentadbiran negeri melanjutkan tempoh pemilikan tanah yang disifatkan memudahkan generasinya pada masa akan datang.

Beliau yang lebih 30 tahun menetap di kawasan berkenaan turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dapat mempertimbang potongan bayaran premium tanah bagi meringankan beban penduduk.

“Sekarang kena bayar lebih kurang RM30,000. Agak membebankan kerana rata-rata penduduk di sini warga emas dan tidak bekerja. Harap Kerajaan Negeri dapat mempertimbang bayaran ini,” katanya.

 


Pengarang :