Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli (dua, kanan) beramah mesra bersama guru KEMAS ketika Bengkel Keibubapaan di Pejabat Penghulu, Hulu Kelang, Gombak pada 27 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pengundi yakin calon HARAPAN mampu teruskan khidmat terbaik

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 27 JULAI: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang diyakini mampu memberi khidmat terbaik di kawasan itu jika menang pilihan raya negeri (PRN).

Pesara Othman Che Man, 69, percaya dengan kebolehan Juwairiya Zulkifli berdasarkan prestasi cemerlangnya sewaktu berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati.

“Kita tengok sebelum ini di DUN Bukit Melawati rekod beliau bagus. Walaupun bukan calon asal ketika itu, tetapi beliau mampu laksanakan tugas dengan baik.

Othman Che Man

“Saya harap pengundi terutama atas pagar akan beri (sokongan) pada beliau,” katanya ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan JKKK Kampung Kemensah pagi tadi.

Suri rumah Hasnah Sharudin, 63, pula berharap wakil rakyat baharu yang dipilih dapat membangunkan kemudahan asas di Kampung Kemensah seperti kawasan komersil demi manfaat penduduk.

Seorang lagi suri rumah Noorshidah Ismail, 54, pula mahu jalan di kampung tersebut ditambah baik dan dilebarkan berikutan kesesakan luar biasa terutama pada hujung minggu.

“Setiap kali hujung minggu pasti akan sesak dengan orang luar yang berkunjung ke Taman Rekreasi Kemensah dan Zoo Negara, justeru jalan menjadi sempit dengan kenderaan keluar masuk,” katanya.

Juwairiya akan berdepan Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam PRN Selangor yang berlangsung mulai 29 Julai.


Pengarang :