Tangkap layar Projek Perumahan Taman Air Manis di Sabak Bernam yang tertangguh pembinaan sejak 2011 dijenamakan sebagai Projek Rumah Idaman Taman Air Manis.
ADNSELANGOR

Penyandang DUN Sabak syukur dapat selesai isu perumahan terbengkalai Taman Air Manis

SHAH ALAM, 18 JULAI: Berjaya menyelesaikan isu perumahan yang terbengkalai selama 12 tahun merupakan antara pencapaian diperoleh penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak.

Ahmad Mustain Othman berkata beliau bersyukur kerana dapat membantu lebih 200 pembeli Taman Air Manis yang kini dikenali sebagai Projek Rumah Idaman Taman Air Manis.

“Kenangan saya paling manis sudah tentu dapat membantu selesaikan projek perumahan yang sudah terbengkalai sejak 12 tahun dahulu.

Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Mohd Helmi Mohd Yusof (kiri) meletakkan pemacu pena sebagai simbolik Majlis Penjenamaan Projek Rumah Idaman Taman Air Manis, Sabak Bernam di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 15 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Projek itu kini sedang disiapkan oleh pemaju dan dijangka akan siap menjelang akhir tahun depan,” katanya kepada Selangorkini.

Projek Rumah Idaman Taman Air Manis yang dijenamakan semula pada 2020 menyediakan sebanyak 222 unit rumah teres setingkat dengan keluasan minimum 1,000 kaki persegi pada harga RM250,000 seunit.

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu berasaskan konsep pembangunan bersepadu merangkumi Rumah Selangorku, premis pejabat, stesen minyak serta pusat penjaja rehat dan rawat (R&R).

Pada 7 Mei 2019, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan mengadakan pendengaran awam bagi membincangkan projek yang tertangguh sejak 2011 itu.


Pengarang :