BUDAYARENCANA

Perigi sambilan

Oleh Lokman Hakim

Tidurnya ibarat terjerumus ke dalam perigi. Dalam, tiada jalan keluar. Dengkurnya kecil ditenggelami bunyi pendingin hawa pejabat. Saya tidak tahu kenapa Amri begitu penat. Dengar ceritanya dia buat kerja sambilan selaku penghantar makanan. Lazimnya dia terlihat gemar bermain permainan dalam talian di komputer pejabat. Saya tidak tahu mana datang sikap acuh tak acuh Amri. Majikan ada atau tidak, dia tetap akan tidur ataupun melakukan sesuatu yang jelas sekali bukan kerja pejabat pada komputernya.

Tika majikan melintasi meja Amri yang sedang tidur itu, dia akan mencuit bahu Amri tetapi jelas pemuda itu tidak mudah bangun. Barangkali, dia memerlukan sesuatu yang lebih agresif untuk keluar dari perigi kepenatannya itu. Segulung tali rafia, misalnya. Paling saya kurang senangi apabila majikan bertanya pada saya mengenai tabiat Amri itu.

“Dia buat kerja apa hingga tidur kepenatan awal pagi macam itu?”

“Entahlah bos. Mungkin… dia buat kerja sambilan.”

“Kalau dia tak boleh nak bagi komitmen, eloklah berhenti.”

Tapi majikan saya sukar nak berhentikan orang begitu sahaja. Amri juga seperti tidak lut ditegur. Dalam mesyuarat pun kerap kali dibangkitkan isu tidur waktu pejabat yang sepatutnya tidak dibenarkan melainkan pada waktu rehat. Amri angguk, tidak membantah tetapi sesudah mesyuarat akan mengulang kesalahannya itu.

Baru semalam, Wawa, ketua jabatan pengurusan pekerja mengarang surat amaran yang akan diberi kepada salah seorang pekerja yang ditangkap melakukan kerja sambilan hingga mengabaikan tugasannya di syarikat ini. Saya beritahu Wawa, zaman ini zaman sukar. Tanpa kerja sambilan, gaji mana pernah cukup. Selagi gaji berada pada takah M40 dan ada keluarga yang perlu ditanggung, seseorang itu harus melakukan kerja sambilan.

Iya, saya tahu. Tapi janganlah sampai abaikan kerja hakiki. Saya pun buat kerja sambilan, kata Wawa. Saya setuju. Saya sendiri akui saya juga sama terlibat buat kerja sambilan. Cumanya, banyak hari juga saya tidak sempat melakukan kerja sampingan saya yang memerlukan saya tercatuk di depan laptop kerana majikan gemar membawa saya bertemu rakan kenalan bisnes dan sesekali mengopi di kedai kopi premium.

Krisis Amri bermula pada esok paginya apabila sebuah perigi menggantikan kubikel meja kerjanya. Amri pula ditemui sedang duduk bersila di dalam perigi dengan komputernya sambil melayan video muzik di YouTube. Saya jenguk sebentar di mulut perigi sebelum menyambung kerja saya semula. Saya fikir, berat masalah Amri kali ini.

Semestinya majikan saya terkejut dengan kemunculan perigi tersebut. Agak lama juga dia menjenguk ke dalam perigi sambil memanggil Amri yang nampaknya tidak dapat mendengar suaranya, barangkali.

Wawa, panggil Amri suruh naik. Apa dia buat bawah tu? Tanya majikan. Saya tak tahu, bos. Dia penat kena buat kerja lebih masa agaknya. Sebab itu dia layan dengar lagu. Wawa mengeluarkan sekeping surat amaran kepada Amri yang lekas-lekas ditandatangani majikan. Saya pula pura-pura berbuat sibuk enggan masuk campur. Tapi nampaknya saya tidak dapat mengelak.

“Lutfi, kenapa kamu biar ahli tim kamu begini? Kamu patut pantau kerja Amri,” ujar majikan setelah melayangkan surat amaran ke dalam perigi.

“Dah dia pilih jalan itu, manalah saya boleh masuk campur. Kalau bos sendiri tegur pun dia buat selamba, apatah lagi saya ni, bos.”

Saya fikir Amri seorang yang berani. Dia daripada generasi yang lahir sesudah tahun 2000 dan rakan-rakannya ramai yang sudah buat ekonomi gig dan menjadi pempengaruh itu lebih relevan mencari rezeki. Keterikatan pada majikan ini bukanlah sesuatu yang harus digeruni apatah lagi dipatuhi.

Saya ingat dia betul-betul takkan berlakon buat kerja apabila kerja tiada. Dia tidur semahunya. Dia hisap vape tika keadaan memerlukan walaupun bos ada dalam ofis sedang ligat di telefon mencari peluang projek besar-besar. Kadang-kadang dia tidur di sofa pantri walaupun CCTV menghala tepat ke sofa itu – dan bos jelas sekali sangat rajin memantau CCTV.

Kini, Wawa disuruh turun ke dalam perigi. Memang ada tangga tali tetapi saya rasa ia terlalu rumit untuk Wawa turuni dengan tubuhnya yang kurang cergas itu. Saya dengar majikan bertempik ke arah Amri perihal pemotongan gaji akibat culas di pejabat tak buat kerja. Tapi semua tahu Amri buat kerja sambilan bersungguh-sungguh dan dia penat.

Saya tak tahu bagaimana Amri mendepani majikan dalam pejabatnya, bersekali dengan Wawa. Tapi selesai perbincangan, Amri segera ke perigi lalu mengemaskan semua barangnya. Tanpa menoleh ke arah kami yang sibuk di kubikel kerja masing-masing, Amri balik.

Keberaniannya itu dan kegagalan majikan melihat situasi pekerja seperti kami yang tidak mampu hidup dengan gaji sedia ada semata-mata menyedarkan saya akan sesuatu. Saya balik ke rumah sesudah tamat waktu kerja dengan rasa kosong. Saya ingat kerja sambilan saya yang sudah lama tergendala akibat sibuk mengiringi majikan ke kedai kopi premium mendengar keluhannya mengenai kesukaran mendapatkan projek supaya syarikat boleh bertahan.

Memahami situasi majikan dan juga keadaan pekerja membuatkan saya tidak memilih untuk menjadi seperti Amri. Perigi di kubikelnya juga ghaib pada esok harinya.

Namun, saya dapati perigi itu kini menggantikan kubikel ruang kerja di pejabat saya pada suatu pagi. Saya teringat pada kerja sambilan saya yang tertangguh. Bil-bil dan hutang-hutang bank yang tidak terbayar dengan gaji sedia ada yang saya miliki. Dengan rasa berat hati, saya turuni perigi itu dan berharap situasi akan lebih baik apabila majikan masuk ke pejabat kelak.

 

 


Pengarang :